KUALA LUMPUR 23 Mei — UEM Sunrise Berhad melaporkan lonjakan 150.51 peratus dalam keuntungan bersih suku pertama kepada RM20.49 juta berbanding RM8.18 juta setahun sebelumnya, disokong hasil lebih tinggi dan kos kewangan yang rendah.
Kumpulan tersebut berkata, hasil bagi tempoh tiga bulan berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25) melonjak kira-kira 85.65 peratus kepada RM417.63 juta daripada sebanyak RM224.96 juta sebelumnya, didorong pelbagai projek yang sedang dijalankannya,
Tambah syarikat hartanah dana kekayaan negara, Khazanah Nasional Berhad itu, projek berkenaan termasuk Aspira Hills dan Aspira LakeHomes di Iskandar Puteri, Johor selain Serene Heights di Semenyih, Selangor, serta The MINH di Mont’Kiara, Kuala Lumpur.
"Kos kewangan pula susut kira-kira 8 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM36.06 juta daripada RM39.32 juta," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Sementara itu, dalam satu kenyataan yang berasingan, syarikat berkenaan berkata, ia menyasarkan pelancaran pelbagai lagi projek mencecah RM1.5 bilion nilai pembangunan kasar dan berhasrat mahu mencapai jualan keseluruhan RM1.05 bilion pada tahun semasa.
Selain itu, UEM Sunrise menyatakan, jualan yang tidak dibil meningkat kepada RM3.02 bilion, dan memberikan keterlihatan dari segi pendapatan kumpulan tersebut dalam tempoh antara 18 bulan sehingga 36 bulan akan datang.
Dari segi pembangunan perindustrian, ia menjangkakan pewartaan akhir di bawah rancangan tempatan yang akan datang menjelang awal 2026 manakala pemaju hartanah tersebut sedang mempercepatkan pengaktifan dan penyiapan bagi kerja-kerja infrastruktur utama.
"Langkah ini dilaksanakan untuk memastikan kami sudah bersedia sepenuhnya bagi meneruskan pelancaran pelbagai projek pembangunan perindustrian itu dengan serta-merta apabila kelulusan perancangan diperoleh,” katanya.
UEM Sunrise berkata, syarikat tersebut juga memajukan pengembangan antarabangsanya dengan projek pembangunan kediaman bercampur di Subiaco East, Perth, iaitu projek usaha niaga yang pertamanya di wilayah Australia Barat.
Projek hartanah terbaharu ini, yang terdiri daripada 40 unit pangsapuri merangkumi dua buah menara, serta dirancang akan dilancarkan pada separuh kedua 2025.
Saham UEM Sunrise ditutup tidak berubah kepada 73.5 sen dalam dagangan bursa semalam dan menilai permodalan syarikat berkenaan kepada RM3.72 bilion. - DagangNews.com








