KUALA LUMPUR 2 Dis - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan kerajaan berbelanja berlebihan bagi projek mega termasuk LRT Mutiara Line di Pulau Pinang yang kos pembinaannya meningkat kepada RM17 bilion.
Ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini, Anwar menyifatkan tuduhan tersebut sebagai 'putar belit fakta', sambil menegaskan keperluan pembangunan di Pulau Pinang perlu dilihat dalam konteks lebih luas.
“Ini contoh fakta diputarbelitkan. Biar saya jelaskan. Mengapa Pulau Pinang ada LRT? Mengapa tidak disebut bahawa Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menelan kos antara RM40 hingga RM50 bilion, memberi manfaat kepada negeri seperti Kelantan dan Terengganu?
“Ia projek berimpak tinggi yang melibatkan berbilion ringgit. Tetapi kita tidak persoalkan kerana ia sudah pun berjalan. Bezanya ialah kerajaan sekarang berjaya mengurangkan kos dan memastikan kerja subkontrak diberikan kepada syarikat tempatan,” katanya semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN–Hulu Terengganu), yang mempersoalkan perbelanjaan untuk projek mega seperti LRT Pulau Pinang dan Kota Madani ketika keutamaan lain sepatutnya diberikan perhatian.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Pulau Pinang tidak menerima sebarang projek besar dalam tempoh lima tahun lalu.
“LRT Pulau Pinang ini bukan sepenuhnya perbelanjaan pembangunan. Sebahagiannya ialah perbelanjaan pembangunan, dan sebahagian lagi dibiayai melalui bon yang perlu dibayar semula.
“Kedua, mengapa kos meningkat daripada anggaran awal RM10 bilion? Kerana saya mencadangkan jika LRT diteruskan, ia tidak seharusnya hanya berkhidmat di pulau.
"Kita mesti pertimbangkan tanah besar (Seberang Perai) juga. Majoriti penduduk di sana ialah Melayu, dan pembangunan juga harus memberi manfaat kepada Seberang Perai, Kedah, Perlis dan Perak.
“Itulah sebab kos meningkat, dan saya ambil tanggungjawab terhadap perkara itu. Peningkatan itu kerana kita mahu manfaat LRT tidak terhad di pulau. Itulah penjelasan yang telah kami berikan,” katanya.
Mengenai projek Kota Madani, Anwar menjelaskan projek tersebut adalah inisiatif Putrajaya Holdings Sdn Bhd dan bukannya projek yang dibiayai kerajaan Persekutuan.
Perdana Menteri turut mempersoalkan sikap negatif terhadap projek berkenaan, sedangkan pembangunan tersebut bertujuan menyediakan 10,000 unit kediaman bagi penjawat awam yang berdepan kekurangan rumah di Putrajaya.
“Ia bukan mega city atau menara berkembar. Ia bandar baharu yang perlu pintar, mesra AI dan selesa. Tidak ada yang salah. Kesemua 10,000 unit itu untuk penjawat awam,” katanya.
Anwar turut mencabar Rosol agar turun ke Putrajaya dan menyatakan sendiri kepada penjawat awam bahawa beliau tidak bersetuju dengan projek perumahan tersebut. - DagangNews.com








