Tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja siasat ketirisan industri padi beras, sediakan Kertas Putih - Muhyiddin | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja siasat ketirisan industri padi beras, sediakan Kertas Putih - Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama wakil Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah) pada majlis iftar anjuran Institut Masa Depan Malaysia (MASA) di Kuala Lumpur pada 13 Mac 2025.
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 14 Mac - Kerajaan diminta menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)  untuk menyiasat elemen ketirisan serta jenayah perdagangan sehingga mencetuskan krisis serta keresahan dalam kalangan petani dan rakyat di negara ini.

 

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan juga diminta menyediakan satu Kertas Putih untuk industri padi dan beras bagi memperhalusi pelbagai isu langsung dan tidak langsung yang mengganggu kelestarian industri terbabit.

 

"Isu yang timbul mengenai industri terbabit perlu diselesaikan secara menyeluruh, membabitkan setiap rantaian ekosistem padi dan beras.

 

"Ia termasuk penyertaan pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan," kata Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) kepada wartawan pada majlis iftar anjuran Institut Masa Depan Malaysia (MASA) pada Khamis.

 

 

parafrasa

 

 

Muhyiddin sebelum itu, menyertai sesi pembentangan mengenai isu-isu berkenaan padi dan beras dan akses kepada benih yang disampaikan oleh wakil Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah).

 

Antara perkara yang dibangkitkan ialah peningkatan kos input seperti benih, baja dan racun yang tidak berkualiti, kos perkhidmatan mesin dan jentera serta isu monopoli yang tidak menguntungkan petani.

 

Para petani juga mahu harga lantai padi ditingkatkan kepada RM1,800 daripada RM1,300 per tan metrik disebabkan kenaikan pelbagai kos tersebut.

 

"Saya berpandangan, isu ini perlu diselesaikan secara menyeluruh melibatkan setiap rantaian ekosistem padi dan beras serta penglibatan pelbagai agensi kerajaan berkaitan.

 

Muhyiddin pada 13 Februari lalu pernah membangkitkan cadangan seumpama di Dewan Rakyat, menggesa kerajaan mewujudkan kertas putih industri padi dan beras supaya isu berhubung industry itu dapat diselesaikan secara komprehensif.

 - DagangNews.com