WASHINGTON 16 Julai - Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah mencapai satu perjanjian perdagangan dengan Indonesia yang melibatkan komitmen pembelian yang signifikan daripada negara Asia Tenggara itu, selepas rundingan bagi mengelakkan tarif yang lebih tinggi.
Barangan Indonesia yang memasuki Amerika Syarikat akan dikenakan tarif sebanyak 19 peratus, kata Trump dalam satu hantaran di platform Truth Social miliknya. Ini jauh lebih rendah daripada paras 32 peratus yang pernah diancam sebelum ini oleh beliau.
“Sebagai sebahagian daripada Perjanjian ini, Indonesia telah komited untuk membeli AS$15 bilion tenaga dari AS, AS$4.5 bilion produk pertanian Amerika, dan 50 pesawat Boeing, termasuk banyak pesawat jenis 777,” tulis Trump.
Saham Boeing ditutup dengan penurunan 0.2 peratus selepas pengumuman tersebut.
Pentadbiran Trump sedang menghadapi tekanan untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan setelah berjanji akan menandatangani beberapa perjanjian baru-baru ini, ketika negara-negara lain mencari jalan rundingan dengan Washington bagi mengelakkan rancangan tarif presiden AS itu.
Namun setakat ini, Trump hanya mengumumkan perjanjian dengan Britain dan Vietnam, selain satu persetujuan sementara untuk merendahkan tarif balas dengan China.
Minggu lalu, Trump sekali lagi mengancam akan mengenakan tarif sebanyak 32 peratus ke atas barangan dari Indonesia, menerusi sepucuk surat kepada kepimpinan negara tersebut yang menyatakan bahawa tarif itu akan dikuatkuasakan mulai 1 Ogos.
Masih belum jelas bila kadar tarif yang lebih rendah seperti yang diumumkan pada Selasa itu akan berkuat kuasa ke atas Indonesia. Tempoh masa bagi pelaksanaan pembelian seperti yang dijanjikan juga belum dinyatakan.
Trump berkata di media sosial bahawa di bawah perjanjian tersebut, barangan yang dihantar semula (transshipped) bagi mengelakkan tarif yang lebih tinggi akan dikenakan cukai yang lebih besar.
Beliau turut memberitahu wartawan bahawa perjanjian-perjanjian lain sedang dalam perbincangan, termasuk dengan India, manakala rundingan dengan Kesatuan Eropah masih berjalan.
Bekas timbalan menteri luar negeri Indonesia, Dino Patti Djalal, berkata dalam satu acara anjuran Foreign Policy pada hari Selasa bahawa sumber dalam kerajaan menyatakan mereka berpuas hati dengan perjanjian baharu itu.
Lonjakan Tarif
Trump pada bulan April telah mengenakan tarif sebanyak 10 peratus ke atas hampir semua rakan dagang, dan mengumumkan rancangan untuk menaikkan lagi kadar itu mengikut negara, termasuk ke atas EU dan Indonesia.
Namun, beberapa hari sebelum tarif yang lebih tinggi itu sepatutnya dikuatkuasakan, beliau menangguhkan tarikhnya dari 9 Julai ke 1 Ogos. Ini merupakan penangguhan kedua terhadap pelaksanaan tarif lebih tinggi tersebut.
Sejak awal minggu lalu, Trump telah mula menghantar surat kepada rakan dagang, menyatakan kadar tarif yang akan dikenakan mulai Ogos.
Setakat ini, beliau telah menghantar lebih daripada 20 surat termasuk kepada EU, Jepun, Korea Selatan dan Malaysia.
Kanada dan Mexico, dua negara yang pada asalnya tidak termasuk dalam kempen tarif "timbal balik" Trump pada April, juga menerima dokumen serupa yang menyatakan tarif baharu untuk produk mereka.
Namun, pengecualian sedia ada ke atas barangan yang memasuki Amerika Syarikat di bawah perjanjian perdagangan Amerika Utara dijangka akan dikekalkan, menurut seorang pegawai AS sebelum ini.
Trump telah mengenakan tarif secara menyeluruh terhadap rakan dagang sebagai sebahagian daripada usahanya menangani apa yang disifatkan oleh pentadbirannya sebagai amalan tidak adil yang merugikan perniagaan AS.
Penganalisis memberi amaran bahawa tanpa perjanjian perdagangan, rakyat Amerika mungkin akan menganggap strategi Trump untuk membentuk semula hubungan dagangan AS dengan dunia telah gagal.
“Dalam pemikiran awam, tarif itu menyakitkan, manakala perjanjian adalah ganjarannya. Jika tiada perjanjian, orang ramai akan menyimpulkan bahawa strateginya adalah salah,” kata William Reinsch, penasihat kanan di Center for Strategic and International Studies, sebelum ini kepada AFP.
© Agence France-Presse








