KUALA LUMPUR 27 Jan - Cadangan penubuhan Tribunal Cukai, khususnya untuk individu serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) boleh menambah kerumitan daripada memudahkan, memandangkan sifat teknikal isu percukaian, kata pakar percukaian dan ahli ekonomi.
Pengarah Eksekutif TRATAX Sdn Bhd, Thenesh Kannaa, berkata daripada menubuhkan tribunal baharu, tumpuan seharusnya diberikan kepada penambahbaikan institusi sedia ada iaitu Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) dan Tribunal Rayuan Kastam (CAT).
“Menjadikan SCIT dan CAT yang sedia ada lebih mesra perniagaan mungkin merupakan jawapannya.
"Sebagai contoh, Peraturan 4 Peraturan-Peraturan Kastam (Tribunal Rayuan) (P.U. (A) 210/2007) memperuntukkan bahawa sesuatu rayuan boleh didengar di CAT walaupun perayu belum membayar duti yang dipertikaikan dan sebarang penalti yang dikenakan.
“Mempunyai keupayaan kewangan untuk membayar jumlah yang dipertikaikan tidak sepatutnya menjadi prasyarat untuk sesuatu kes didengar oleh tribunal cukai,” katanya lapor The Star.
Baru-baru ini, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengulangi gesaannya supaya sebuah tribunal cukai ditubuhkan, dengan menyatakan kebimbangan terhadap layanan birokrasi yang tidak adil oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Thenesh menambah, sekiranya kebimbangan adalah untuk mengelakkan rayuan yang tidak berasas, rangka kerja perundangan boleh dipinda bagi memasukkan faedah bermula dari tarikh taksiran, sekiranya rayuan tidak diputuskan memihak kepada perayu.
Menurut beliau, satu lagi isu ialah tempoh masa yang diambil untuk membuat keputusan, yang boleh ditangani dengan menilai semula kecukupan sumber yang diperuntukkan kepada SCIT dan CAT, selain melaksanakan inisiatif pendigitalan.
“Apabila aspek penambahbaikan bagi SCIT dan CAT ditangani, tidak akan ada keperluan untuk sebuah tribunal cukai berasingan khusus untuk PMKS,” katanya.
Pakar ekonomi Profesor Geoffrey Williams berpendapat bahawa walaupun sebuah tribunal cukai baharu boleh ditubuhkan, tanggungjawab utama seharusnya dan mesti kekal kepada juruaudit cukai, yang perlu dipastikan melaksanakan tugas mereka dengan baik.
Beliau berkata, pertikaian cukai lazimnya berkisar kepada dua isu utama — LHDN mendakwa cukai yang dibayar tidak mencukupi dan perlu ditambah, manakala pembayar cukai pula mendakwa mereka telah membayar terlalu banyak dan berhak mendapat bayaran balik.
“Ini adalah isu teknikal dan paling sesuai dikendalikan oleh sebuah tribunal bebas. Malah, dalam kebanyakan kes, juruaudit cukai perlu dipertanggungjawabkan, khususnya melibatkan PKS, di mana terdapat kebimbangan sebenar mengenai kelewatan bayaran balik, terutamanya semasa tempoh pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST),” katanya.
Walau bagaimanapun, Williams berpendapat bahawa dalam ekonomi moden di mana hampir 80% transaksi adalah secara elektronik, kaedah paling berkesan untuk mengurangkan pertikaian dan meningkatkan hasil adalah melalui pengenalan cukai pembayaran elektronik (EPT) ke atas semua transaksi elektronik.
“Cukai 1% ke atas pembeli dan penjual mampu menjana RM28.8 bilion dan dikutip di peringkat tempat jualan. Kesemuanya adalah secara elektronik, dengan kutipan dan pemantauan melalui teknologi e-dagang dan rantaian blok. Pendekatan ini mengurangkan pertikaian dengan lebih berkesan berbanding peraturan dan tribunal,” katanya. - DagangNews.com








