KUALA LUMPUR 2 Sept - Transaksi Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mencecah RM110 juta dalam tempoh dua hari pelaksanaannya bermula 31 Ogos 2025.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF), hingga 9.30 malam tadi, lebih 900,000 rakyat telah menyempurnakan perbelanjaan berjumlah RM60 juta di seluruh negara.
"Secara keseluruhan, lebih 1.7 juta penerima berjaya berbelanja dalam tempoh dua hari, dengan nilai jualan mencecah RM110 juta di seluruh negara," menurut kenyataan itu, malam tadi.
Menurut MOF, peningkatan kapasiti sistem yang dilaksanakan MyKasih susulan ledakan transaksi pada Ahad membolehkan 20 Bantuan SARA berjumlah RM100 secara sekali beri kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas mula disalurkan melalui MyKad semalam, memberi manfaat kepada 22 juta rakyat dengan peruntukan RM2 bilion.
Bagaimanapun, sistem masih mencatatkan kesesakan pemprosesan di beberapa lokasi, termasuk pasar raya besar di bandar ketika waktu puncak antara 1 tengah hari hingga 2.30 petang.
"Bagi menguruskan situasi ini, petugas MyKasih telah ditempatkan di pasar raya besar untuk membantu menyelesaikan isu secara terus di lapangan dan memberikan sokongan kepada peniaga," menurut kenyataan itu.
Kementerian turut menasihatkan orang ramai supaya merancang pembelian pada waktu bukan puncak, seperti waktu pagi pada hari bekerja bagi mengelakkan kesesakan sekali gus melancarkan urusan pembelian.
Kredit RM100 Penghargaan SARA yang disalurkan ke dalam MyKad penerima kekal sah hingga 31 Disember tahun ini dan boleh digunakan pada lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara. - DagangNews.com








