Topmix catat lonjakan untung bersih 53% pada Q2FY25, umum dividen 0.4 sen sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Topmix catat lonjakan untung bersih 53% pada Q2FY25, umum dividen 0.4 sen sesaham

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Topmix Berhad (Topmix), penyedia penyelesaian permukaan hiasan terkemuka di Malaysia, hari ini mengumumkan keputusan kewangan bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 dengan prestasi memberangsangkan.

 

Bagi tempoh berkenaan, Topmix mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 17.4% tahun ke tahun kepada RM25.4 juta berbanding RM21.7 juta pada suku yang sama tahun lalu. 

 

Dalam kenyataan hari ini syarikat itu berkata, peningkatan ini didorong oleh jualan produk high pressure laminate (HPL) yang lebih tinggi sebanyak 11.6% kepada RM22.9 juta, menyumbang 90% daripada jumlah hasil. 

 

Selain itu, pertumbuhan turut disokong oleh lonjakan jualan produk permukaan hiasan lain hampir tiga kali ganda, hasil daripada peningkatan jumlah papan lapis polyvinyl chloride (PVC) serta sumbangan tambahan daripada produk baharu melamine-faced chipboard (MFC) yang dilancarkan pada Mac 2025.

 

Untung selepas cukai (PAT) bagi suku kedua meningkat 52.9% kepada RM4.0 juta, berbanding RM2.6 juta sebelum ini.

 

Pertumbuhan itu seiring dengan hasil yang lebih kukuh serta kos jualan yang lebih rendah, dipacu oleh faktor tukaran mata wang asing yang menguntungkan.

 

Bagi tempoh enam bulan pertama 2025, Topmix merekodkan PAT sebanyak RM7.1 juta, melonjak 82.3% berbanding RM3.9 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Hasil pula meningkat 15.8% kepada RM47.5 juta, dengan semua segmen produk mencatatkan pertumbuhan termasuk sumbangan daripada produk MFC. 

 

Pengukuhan Ringgit Malaysia sejak awal 2025 turut menyokong prestasi separuh pertama tahun kewangan ini.

 

Mengulas pencapaian tersebut, Pengarah Urusan Topmix, Teo Quek Siang, berkata pihaknya berbangga kerana berjaya mencatatkan pertumbuhan keuntungan hampir 90% pada separuh pertama tahun ini. 

 

"Keputusan cemerlang ini mencerminkan kedudukan pasaran Topmix yang kukuh serta kekuatan daya saing, diperkukuh lagi dengan pelancaran produk inovatif MFC yang mendapat sambutan positif sejak pelancarannya. Margin keuntungan sebelum cukai kini melepasi paras 22%, tertinggi sejak penyenaraian Topmix, dipacu permintaan berterusan terhadap produk HPL," katanya.

 

Beliau menambah, syarikat bakal melancarkan produk baharu dikenali sebagai Topmix Component, iaitu komponen kabinet tanpa pemegang, yang diperkenalkan di pameran ARCHIDEX bulan lalu. 

 

Menurutnya, maklum balas pasaran amat menggalakkan dan diyakini mampu memperluas portfolio produk serta mencipta peluang jualan silang yang baharu.

 

Seiring prestasi kukuh ini, Lembaga Pengarah Topmix mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 0.4 sen sesaham melibatkan 393.9 juta saham, berjumlah kira-kira RM1.6 juta. Pembayaran akan dibuat pada 3 Oktober 2025. - DagangNews.com