TNB tarik balik semakan kehakiman, mohon insentif di bawah Jadual 7B | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB tarik balik semakan kehakiman, mohon insentif di bawah Jadual 7B

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Sept – Tenaga Nasional Bhd (TNB) menarik balik permohonan semakan kehakiman terhadap dua Notis Taksiran Tambahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), berjumlah lebih RM1.39 bilion bagi Tahun Taksiran 2020 dan 2021.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, TNB memaklumkan Mahkamah Tinggi telah mengiktiraf Notis Penarikan Balik (Notices of Discontinuance) yang difailkan oleh syarikat itu pada 10 September 2025, bagi menarik semula tindakan undang-undang terhadap LHDN.

 

 

 

 

 

 

 

Sebaliknya, TNB telah mengemukakan satu permohonan baharu bagi mendapatkan insentif cukai di bawah Jadual 7B Akta Cukai Pendapatan 1967, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memberi penjelasan terhadap kelayakan syarikat-syarikat utiliti untuk menikmati insentif pelaburan tersebut.

 

Untuk rekod, TNB menerima dua notis taksiran tambahan bertarikh 19 Ogos 2024 daripada LHDN bagi jumlah masing-masing RM685.82 juta dan RM705.24 juta. Syarikat kemudian memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar kesahan notis tersebut pada Ogos 2024.

 

Perkembangan ini turut dilaporkan dalam beberapa pengumuman terdahulu oleh TNB bertarikh 20 Ogos 2024, 6 dan 9 September 2024, 25 September 2024, 18 Februari 2025, 29 April 2025, 31 Julai 2025, dan 18 Ogos 2025.

 

 

 

 

 

 

Langkah TNB ini dilihat sebagai usaha strategik untuk menyelesaikan pertikaian cukai secara pentadbiran, dengan potensi untuk mengurangkan liabiliti cukai keseluruhan melalui insentif pelaburan semula yang diperuntukkan di bawah Jadual 7B.

 

TNB menegaskan ia akan terus memaklumkan perkembangan lanjut berkaitan permohonan insentif tersebut dan sebarang impak kewangan kepada syarikat, sekiranya ada. - DagangNews.com