KUALA LUMPUR 16 Jun (BERNAMA) - Syarikat utiliti nasional, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan sebanyak RM43 bilion untuk menaik taraf infrastruktur grid nasional, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, naik taraf ini akan merangkumi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan sistem penyimpanan tenaga bateri bagi membina ketahanan dan fleksibiliti yang lebih besar pada masa hadapan.
“Kita mesti melabur untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan pelepasan dalam sistem tenaga sedia ada — satu tugas yang besar, memandangkan bahan api fosil masih menyumbang hampir 80 peratus kepada bekalan global.
“Paling penting, peralihan ini mesti berteraskan kepada prinsip keadilan,” kata Perdana Menteri dalam ucaptama beliau di Persidangan Energy Asia 2025 hari ini.

Menyentuh mengenai ASEAN, beliau menekankan bahawa blok serantau itu telah meletakkan asas bagi laluan pragmatik ini melalui Kerangka dan Peta Jalan Pelaksanaan Penangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) ASEAN, yang bertujuan menyelaras dasar dan memudahkan aliran modal serta karbon rentas sempadan.
“Malaysia memainkan peranannya. Awal tahun ini, kita telah meluluskan Rang Undang-Undang Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon 2025 bagi menyediakan asas peraturan untuk sektor baharu ini.
“Petronas menerajui usaha ini dengan rancangan untuk membangunkan tiga hab CCS di perairan luar pesisir kita, yang akan memberi perkhidmatan bukan sahaja kepada sektor minyak dan gas, tetapi juga kepada industri-industri lain yang sukar dinyahkarbon,” katanya.
Anwar berkata, usaha CCS Malaysia melibatkan lebih daripada 10 rakan kongsi antarabangsa, termasuk Jepun, Korea Selatan serta syarikat tenaga global seperti Total dan Shell.
“Petronas juga bekerjasama dengan ENEOS Corporation, Mitsubishi dan JX Nippon untuk meneroka pengangkutan dan penyimpanan karbon dioksida dari kawasan Teluk Tokyo ke Malaysia. Ini meletakkan CCS bukan sahaja sebagai alat nyahkarbon yang penting, tetapi juga sebagai aliran pendapatan baharu yang berpotensi untuk rantau ini,” katanya.
Persidangan Energy Asia 2025 yang bertemakan “Menjayakan Peralihan Tenaga Asia”, berlangsung dari 16 hingga 18 Jun, merupakan detik yang sesuai bagi Malaysia dan rantau ini menilai kemajuan dalam mencapai objektif peralihan tenaga serta memperkukuh komitmen nasional ke arah matlamat sifar bersih.
Persidangan ini hadir pada masa yang kritikal dalam usaha mempelbagaikan ekonomi dan pembangunan mampan, ketika negara-negara beralih daripada minyak tradisional kepada tenaga boleh diperbaharui serta mengadaptasi teknologi baharu seperti hidrogen dan penangkapan karbon. - BERNAMA








