KUALA LUMPUR 13 Mei — Tenaga Nasional Berhad (TNB) merekodkan secara purata sebanyak 2,303 kes kecurian elektrik setiap tahun yang dikaitkan daripada aktiviti perlombong mata wang kripto haram antara Januari 2020 dan Disember 2024.
Ia turut berkata, jumlah kegiatan tersebut melonjak hampir 300 peratus antara 2018 dan tahun lepas setelah dikesan melalui operasi bersama Suruhanjaya Tenaga (ST) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan majlis tempatan.
Tambah penyedia utiliti itu, peningkatan berkenaan hasil operasi dan serbuan bersama di seluruh negara yang berjaya menutup premis perlombongan haram bermula daripada sebanyak 610 kes sahaja pada 2018 kepada mencecah 2,397 pada 2024.
"Untuk tempoh sama, purata bilangan aduan yang berkaitan kes ini ialah 1,699, dengan purata 340 sebulan dan jumlah aduan tinggi itu juga mencerminkan peningkatan kesedaran orang ramai mengenai aktiviti perlombongan tersebut," katanya.
TNB berkata, ia mampu mengesan penggunaan elektrik yang mencurigakan melalui analisis trend corak penggunaan berterusan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memastikan bekalan tenaga boleh dipercayai untuk semua pengguna sah.
Bagi meningkatkan lagi pengesanan, ia telah mempertingkatkan penggunaan meter pintar, yang merekodkan penggunaan elektrik harian serta dapat menghantar data melalui frekuensi radio untuk pemantauan dan pengebilan secara masa nyata.
Tindakan penguatkuasaan ini menjaga kestabilan grid tenaga dan ia menyokong penguatkuasaan lebih kukuh di bawah Akta Bekalan Elektrik selain penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta analitik ramalan bagi mengesan corak yang tidak normal.
"Di bawah undang-undang, mengusik pemasangan elektrik boleh dihukum denda maksimum RM1 juta, penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya, malah pesalah didakwa mengikut Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan kerana mencuri," kata TNB.
Syarikat itu memberi contoh satu kes berprofil tinggi pada Januari 2025 apabila kira-kira 60 pemilik rumah dan pengusaha kedai di Perak terkena bil antara RM30,000 dan RM1.2 juta ekoran sambungan haram penyewa terlibat perlombongan kripto.
Pada 30 April 2025 pula, polis Terengganu berjaya membongkar sindiket jenayah yang terlibat dalam kecurian elektrik untuk kegiatan perlombongan mata wang bitcoin haram di Daerah Hulu Terengganu dan Marang.
TNB berkata, memandangkan Malaysia berhasrat untuk menjadi hab ekonomi digital utama serantau, penggunaan teknologi yang berkaitan mata wang kripto mesti diimbangi dengan penguatkuasaan kawal selia secara kukuh. - DagangNews.com








