TNB diunjur catat untung bersih RM1.3 bilion pada 4Q25, RHB Research naikkan TP kepada RM16.50 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB diunjur catat untung bersih RM1.3 bilion pada 4Q25, RHB Research naikkan TP kepada RM16.50

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Jan - Tenaga Nasional Bhd (TNB) dijangka mencatatkan peningkatan ketara dalam keuntungan bersih bagi suku keempat tahun kewangan 2025 (4Q25), disokong oleh kadar cukai efektif (ETR) yang lebih rendah susulan pengiktirafan elaun cukai, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu meramalkan keuntungan bersih kumpulan dianggarkan mencecah RM1.3 bilion, meningkat 81% tahun ke tahun (YoY) dan 30% suku ke suku (QoQ).

 

Katanya, syarikat utiliti negara itu dijadual mengumumkan keputusan kewangan 4Q25 pada 26 Februari, dengan sesi taklimat kepada penganalisis akan diadakan pada keesokan harinya.

 

Menurut RHB, lonjakan prestasi ini didorong oleh jangkaan penurunan ETR kepada sekitar 17%, hasil pengiktirafan elaun cukai yang dijangka memberi kesan positif ketara kepada pendapatan bersih kumpulan.

 

"Seiring dengan itu, kami mengekalkan saranan BELI susulan semakan naik harga sasaran (TP) kepada RM16.50 daripada RM15.60, mencerminkan potensi kenaikan 17% serta anggaran hasil sekitar 4% bagi FY26F" katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Unjuran pendapatan TNB bagi FY25F hingga FY27F telah dinaikkan sebanyak 6% setahun, didorong oleh pengurangan ETR kepada 26% berbanding 30% sebelum ini, hasil pengiktirafan kredit cukai. 

 

Selain itu, perbelanjaan modal luar jangka akan dipercepatkan dalam tempoh FY26 hingga FY27 berikutan kelulusan kerajaan terhadap mekanisme pemulihan hasil.

 

Menurut RHB, pengurusan TNB menjangkakan ETR akan menurun kepada 26–27% bagi FY25 hingga FY27 selepas kerajaan memberi kelulusan untuk mengiktiraf elaun pelaburan semula (RIA) bagi perbelanjaan modal layak terdahulu. 

 

Pengiktirafan kredit cukai ini dijangka bermula pada 4Q25, sekali gus mengurangkan ETR FY25 sebanyak empat mata peratusan kepada 26%.

 

Perbelanjaan Modal

Dari segi perbelanjaan modal, TNB berada di landasan untuk mencapai RM12 bilion perbelanjaan modal terkawal pada FY25, dengan perbelanjaan luar jangka merangkumi RM1.5 bilion atau 13% daripada jumlah keseluruhan.

 

Bagi tempoh sembilan bulan FY25, kumpulan telah mencapai 75% daripada sasaran tersebut. Susulan kelulusan mekanisme pemulihan hasil, pengurusan bercadang mempercepatkan penggunaan perbelanjaan modal luar jangka kepada RM4 bilion setahun.

 

Ini dijangka membolehkan TNB mencapai kira-kira dua pertiga kelulusan perbelanjaan modal bagi Tempoh Kawal Selia 4 (RP4), yang berpotensi meningkatkan unjuran EPS dan TP FY26 sebanyak 7%.

 

Permintaan Pusat Data

Dalam pada itu, permintaan daripada pusat data (DC) kekal kukuh tanpa sebarang tanda kelembapan. TNB terus menerima minat tinggi daripada pengendali pusat data untuk mendapatkan bekalan tenaga, dengan sasaran menandatangani perjanjian bekalan tenaga (ESA) sebanyak 1GW setahun sehingga 2030, tertumpu di Johor dan Cyberjaya.

 

Setakat akhir September 2025, TNB telah memperoleh komitmen bekalan sebanyak 7.1GW kepada pusat data, dengan kadar penggunaan beban sekitar 10%.

 

Pengurusan juga menjangkakan Suruhanjaya Tenaga akan mengumumkan pemenang tender loji gas baharu CAT2 dalam masa terdekat, memandangkan tempoh pembinaan loji mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk siap dan beroperasi menjelang 2030.

 

Berdasarkan ujian senario, sekiranya TNB memenangi bidaan untuk membina loji gas baharu berkapasiti 2,800MW dengan perbelanjaan modal RM9.8 bilion, pembiayaan hutang 70% dan WACC 8.2%, projek tersebut dianggarkan menjana IRR 12% serta memberi peningkatan sekitar RM1.66 atau 10% kepada TP. - DagangNews.com