TM tegaskan notis penamatan Perjanjian Akses 5G dengan Digital Nasional sah, segala hak kontraktual telah dipenuhi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TM tegaskan notis penamatan Perjanjian Akses 5G dengan Digital Nasional sah, segala hak kontraktual telah dipenuhi

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 Mac - Telekom Malaysia Berhad (TM) menegaskan pihaknya telah melaksanakan hak kontraktualnya di bawah Perjanjian Akses 5G dengan mematuhi sepenuhnya syarat-syarat mengenai penamatan awal kontrak dengan Digital Nasional Berhad (DNB).

 

Syarikat telekomunikasi negara itu dalam kenyataan berkata segala keperluan yang berkenaan mengenai penamatan awal kontrak telah dipenuhi termasuk berkaitan Model Dwi-Rangkaian 5G.

 

Tambah kenyataan itu lagi, keputusan itu dibuat selepas analisis menyeluruh terhadap semua hak dan obligasi perundangan sebagaimana diperuntukkan dalam perjanjian akses tersebut.

 

"TM menegaskan bahawa notis penamatannya adalah sah dan mengekalkan sepenuhnya segala haknya," katanya dalam kenyataan itu.

 

Kenyataan itu sebagai mengulas siaran akhbar DNB yang mendakwa TM tidak melaksanakan hak penamatan awal selaras dengan syarat yang ditetapkan dalam perjanjian tersebut, sekali gus menolak notis penamatan yang dikemukakan syarikat itu.

 

Justeru DNB menegaskan kontrak jangka panjang Perjanjian Akses Rangkaian Borong 5G dengan TM kekal sah dan boleh dikuatkuasakan.

 

Menurut DNB lagi, perjanjian akses dengan TM berkuat kuasa sehingga Oktober 2032 dan mengandungi syarat khusus yang mengawal selia penamatan awal.

 

Mengulas lanjut TM berkata, perjanjian akses tersebut turut memperuntukkan mekanisme bagi menyelesaikan sebarang perbezaan tafsiran antara pihak-pihak terbabit.

 

Sehubungan itu TM akan mengambil langkah sewajarnya selaras dengan peruntukan perjanjian tersebut.

 

"Keutamaan kami kekal untuk memastikan perkhidmatan kepada pelanggan tidak terganggu, sambil mengurus peralihan ini secara berfasa dan teratur," kata kenyataan itu lagi.

 

TM sebelum ini memberitahu akan memeterai aturan baharu akses borong teknologi 5G berasaskan Rangkaian Teras Pelbagai Operator (MOCN) bersama U Mobile Sdn Bhd.

 

Usaha berkenaan jelas kumpulan itu merupakan langkah strategik dalam memperkukuh daya saing perniagaan mudah alih dan mempercepat aspirasi penumpuan syarikat telekomunikasi tersebut.

 

Seiring peralihan itu, TM memaklumkan sudah melaksanakan hak kontraknya di bawah Perjanjian Akses 5G sedia ada untuk menamatkan aturan akses borong 5G dengan Digital Nasional Berhad (DNB).  - DagangNews.com