KUALA LUMPUR 29 Okt – Bursa Malaysia Securities Berhad mengambil langkah tegas bagi mempertahankan integriti pasaran saham negara dengan memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Malaya terhadap MAA Group Berhad (MAAG), CIMSEC Nominees (Tempatan) Sdn Bhd, KNM Group Berhad (KNMG) dan KNM Process Systems Sdn Bhd.
Tindakan undang-undang ini diambil berikutan kebimbangan serius terhadap cara usul Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) KNM Group yang dijadual berlangsung pada 30 Oktober 2025 dikemukakan. Usul tersebut melibatkan cadangan pelupusan Deutsche KNM GmbH (DKNM) dengan nilai sebanyak €270 juta.
Menurut Bursa Securities, usul berkenaan tidak mematuhi keperluan pendedahan dan kelulusan yang ditetapkan di bawah Main Market Listing Requirements (MMLR), termasuk keperluan mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada Bursa Securities.
Sehubungan itu, Bursa menegaskan usul tersebut tidak boleh dibentangkan atau diputuskan selagi pematuhan penuh terhadap peraturan berkenaan belum dicapai.
Dalam permohonan kepada mahkamah itu, Bursa Securities antara lain memohon:
Perintah di bawah Seksyen 360(1)(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) agar defendan menghentikan segera sebarang pelanggaran terhadap MMLR, termasuk menghalang pembentangan atau perbincangan mengenai usul khas pelupusan DKNM sehingga pematuhan penuh terhadap Perenggan 10.11A MMLR dipenuhi.
Deklarasi bahawa sebarang resolusi yang diluluskan tanpa mematuhi MMLR adalah tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.
Perintah pendedahan awam segera terhadap arahan mahkamah melalui Bursa LINK.
Arahan kepada Pengerusi EGM untuk menangguhkan mesyuarat sekiranya mahkamah belum membuat keputusan sebelum ia bermula.
Pada prosiding hari ini, Mahkamah Tinggi membenarkan defendan diberikan masa tambahan untuk menjawab afidavit Bursa Securities. Kes berkenaan ditetapkan untuk pendengaran pada 19 November 2025.

Bursa Securities turut mengesahkan KNM Group masih kekal sebagai syarikat tersenarai sehingga 4 November 2025, berikutan penarikan balik rayuannya terhadap penyahsenaraian pada 27 Oktober 2025.
Seperti yang dinyatakan dalam notis Bursa bertarikh 3 Oktober 2025, sekuriti KNM Group akan disenyahsenarai daripada Senarai Rasmi Bursa Securities berkuat kuasa 5 November 2025.
Dalam kenyataan tegasnya, Bursa Securities menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan ketelusan, keadilan dan perlindungan pelabur di semua peringkat pasaran modal negara.
“Integriti pasaran modal adalah keutamaan mutlak. Bursa Securities tidak akan teragak-agak mengambil sebarang langkah perlu — termasuk tindakan undang-undang, bagi memelihara keyakinan awam dan memastikan operasi pasaran yang teratur,” kata kenyataan itu. - DagangNews.com








