TIME Dotcom catat untung bersih RM428.15 juta pada FY2025, umum dividen libatkan jumlah pembayaran RM500 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TIME Dotcom catat untung bersih RM428.15 juta pada FY2025, umum dividen libatkan jumlah pembayaran RM500 juta

KUALA LUMPUR 26 Feb — TIME Dotcom Berhad mencatatkan prestasi berdaya tahan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025) apabila keuntungan bersih meningkat kepada RM428.15 juta berbanding RM382.82 juta pada tahun sebelumnya.

 

Prestasi lebih kukuh itu didorong oleh peningkatan hasil, kemerosotan nilai kabel dasar laut yang lebih rendah serta pengurangan kerugian pertukaran asing bersih.

 

Hasil kumpulan bagi FY2025 meningkat 6.1% kepada RM1.79 bilion daripada RM1.69 bilion sebelumnya, disokong permintaan berterusan terhadap penawaran data dan perkhidmatan sambungan, khususnya dalam segmen runcit dan perusahaan yang kekal sebagai penyumbang utama.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Loh Jenkim berkata, kumpulan menutup FY2025 dengan kedudukan kukuh, mencerminkan daya tahan pelaksanaan strategi perniagaan.

 

“Seiring perubahan jangkaan pelanggan, kami kekal komited untuk menyediakan perkhidmatan yang boleh dipercayai dan berkualiti tinggi, di samping memperkukuh asas operasi dan kewangan bagi menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Agih dividen berjumlah RM500.1 juta

Time turut mengumumkan dividen interim dikecualikan cukai (satu peringkat) sebanyak 17.32 sen sesaham dan dividen interim khas dikecualikan cukai (satu peringkat) sebanyak 9.73 sen sesaham.

 

Jumlah pembayaran dividen sebanyak RM500.1 juta itu akan dibayar pada 25 Mac 2026.

 

Bagi suku keempat (4QFY2025), keuntungan bersih susut kepada RM104.38 juta berbanding RM114.40 juta pada tempoh sama tahun lalu, manakala hasil meningkat kepada RM464.79 juta daripada RM430.59 juta.

 

Mengulas prospek, kumpulan berkata ia kekal memberi tumpuan kepada pertumbuhan mampan jangka panjang dalam landskap telekomunikasi yang semakin kompetitif.

 

Time akan terus melabur dalam pengembangan rangkaian, mempercepat transformasi digital serta mempertingkat penyelesaian pelanggan bagi mengekalkan kelebihan daya saing dan memperkukuh kedudukan pasaran. - BERNAMA