KUALA LUMPUR 31 Julai – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bertemakan “Mereka Bentuk Semula Pembangunan Demi Martabat Rakyat” akan berpaksikan tiga teras dasar utama bagi menjamin kemajuan yang inklusif dan mampan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fokus dasar pertama adalah tadbir urus yang baik, yang menjadi asas kepada pengagihan kekayaan negara secara saksama serta pentadbiran berteraskan rakyat.
Menurut beliau, Kerajaan Madani terus komited untuk memperkukuh integriti dan akauntabiliti, menambah baik penyampaian perkhidmatan awam serta memperkemas pengurusan fiskal.
“Dasar kedua ialah kepelbagaian ekonomi secara menyeluruh yang diperlukan untuk menjana penciptaan nilai dalam semua sektor ekonomi.
“Peralihan ini bertujuan memperkukuh kedudukan ekonomi negara — ibarat menaikkan siling atau bumbung. Tonggak utama transformasi ini adalah pendigitalan dan teknologi termaju, khususnya kecerdasan buatan (AI),” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah beliau, kepelbagaian ekonomi itu akan memberi penekanan kepada penciptaan nilai, khususnya dalam industri berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) serta sektor strategik.
Katanya, pertumbuhan yang inklusif, seimbang dan mampan penting bagi meletakkan semula Malaysia sebagai pemain ekonomi global yang berdaya saing.
“Oleh itu, budaya inovasi perlu dijadikan agenda utama bagi meningkatkan pengeluaran produk dan perkhidmatan tempatan yang berdaya saing,” ujarnya.
Teras ketiga pula memberi tumpuan kepada pembangunan inklusif dan responsif, dengan penekanan terhadap usaha meningkatkan taraf hidup rakyat.
Antara langkah yang akan dipergiat ialah meringankan beban kos sara hidup, memperkukuh asas sosial negara berlandaskan nilai Madani serta mempertingkatkan keadaan sosioekonomi komuniti sasar bagi menjamin kehidupan yang bermaruah.
“Pelan ini bukan retorik semata-mata. Kerajaan telah menetapkan sasaran yang boleh diukur menggunakan indikator ekonomi untuk memandu serta memantau pelaksanaan setiap inisiatif,” katanya lagi. - DagangNews.com








