Tidak praktikal perkenal semula GST dalam keadaan ekonomi semasa - Menteri Kewangan II | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tidak praktikal perkenal semula GST dalam keadaan ekonomi semasa - Menteri Kewangan II

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pengenalan semula GST mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun.

KUALA LUMPUR 3 Julai - Kerajaan tidak bercadang memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) buat masa sekarang kerana ia dilihat 'tidak praktikal' dalam keadaan ekonomi semasa, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Beliau berkata, perniagaan sedia ada dan baharu sudah beralih kepada struktur cukai alternatif sejak GST berkadar sifar pada 2018.

 

Katanya, pengenalan semula GST sepenuhnya mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun.

 

Amir Hamzah berkata, kerajaan juga tidak pernah mempertikaikan sistem GST, bagaimanapun, Putrajaya berpendapat ia tidak boleh diperkenalkan semula kerana 'tidak sesuai buat masa ini'.

 

“GST meluas. Ia akan memberi kesan kepada semua orang.

 

“Syarikat suka GST kerana mekanisme cukai input-output: apa yang mereka kenakan, mereka boleh tuntut balik. Tetapi, akhirnya, beban itu ditanggung rakyat," katanya semasa bercakap sebagai tetamu audio siar Keluar Sekejap.

 

Amir Hamzah berkata, kerajaan berpandangan, reformasi cukai mesti pragmatik dan serasi dengan struktur ekonomi semasa Malaysia.

 

“Apabila kita mengenakan cukai, kita perlu bertanya: adakah hasil yang kita perolehi berbaloi dengan usaha?” tambahnya.

 

Hos bersama audio siar itu, Khairy Jamaluddin berkata penjelasan Amir boleh diterima, dengan menyatakan, menteri tidak berkata bahawa cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sememangnya lebih baik daripada GST.

 

Bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Putrajaya akan mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula cukai itu apabila ekonomi bertambah baik dan gaji minimum mencecah RM4,000 atau lebih.

 

Buat masa ini, kerajaan telah memperluaskan SST untuk meliputi lebih banyak barangan, dengan cukai 5% hingga 10% ke atas barangan bukan keperluan dan cukai perkhidmatan tambahan ke atas perkara seperti sewa, pembinaan, perkhidmatan kewangan dan penjagaan kesihatan dan pendidikan swasta.

 

Mengenai pengagihan bantuan kerajaan, Amir Hamzah membuat perbandingan antara skim bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kerajaan perpaduan dan Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M pada zaman Najib Razak.

 

Beliau berkata BR1M paling tinggi mencecah RM1,200, manakala jumlah maksimum bantuan tunai yang boleh diterima oleh isi rumah di bawah STR dan SARA ialah RM4,600.- DagangNews.com