Tiada pengumuman bubar DUN Sabah hari ini - Pejabat Ketua Menteri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiada pengumuman bubar DUN Sabah hari ini - Pejabat Ketua Menteri

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 28 Julai - Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor tidak akan mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada hari ini (28 Julai) bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).

 

Spekulasi awam semakin meningkat susulan berakhirnya Konvensyen Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Ahad.

 

Bagaimanapun, seorang pegawai dari Pejabat Ketua Menteri mengesahkan bahawa Hajiji dijadualkan berlepas ke Jakarta pada Isnin bagi menghadiri rundingan tahunan Malaysia-Indonesia, di mana isu termasuk Laut Sulawesi dijangka dibincangkan.

 

Hajiji turut mengesahkan kepada wartawan pada Ahad bahawa beliau akan mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan kerja ke Indonesia bermula Isnin.

 

Pegawai tersebut memberi respon terhadap laporan tular yang mendakwa Hajiji akan mengumumkan pembubaran DUN pada 28 Julai. Laporan itu juga mendakwa Hajiji akan menghadap Yang di-Pertua Negeri pada 29 atau 30 Julai bagi menyerahkan surat pembubaran.

 

Ia turut menyatakan bahawa Speaker DUN akan mengumumkan penerimaan notis pembubaran pada 1 Ogos, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dimaklumkan secara rasmi pada 4 Ogos.

 

Menurut laporan itu lagi, SPR dijangka bermesyuarat dan menentukan tarikh pilihan raya tidak lama selepas itu, dengan pengumuman rasmi dijangka pada 11 Ogos. Ia turut meramalkan jadual PRN17 seperti berikut: penamaan calon pada 6 September, pengundian awal pada 15 September, dan hari pengundian pada 20 September.

 

Penganalisis politik menjangkakan pembubaran DUN akan berlaku selepas kongres Gagasan Rakyat. Mereka berpendapat Hajiji berkemungkinan memanggil pilihan raya sebelum Hari Kebangsaan pada 31 Ogos atau selepas Hari Malaysia pada 16 September.

 

Hajiji sebelum ini berkata beliau akan berunding dengan semua presiden parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum membuat sebarang keputusan mengenai pembubaran DUN.

 

DUN Sabah ke-16 akan terbubar secara automatik pada 11 November tahun ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal. Mengikut undang-undang, pilihan raya negeri mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran. - DagangNews.com