KUALA LUMPUR 27 Ogos - Dengan sejarah hitam Malaysia yang dipenuhi isu rasuah dan penyelewengan lampau, ketelusan dan kebertanggungjawaban bukan lagi pilihan tetapi menjadi tuntutan wajib, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil menegaskan, budaya pemberian kontrak melalui rundingan terus tidak akan diteruskan lagi.
“Sejarah panjang negara ini sarat dengan pengajaran pahit dan hitam daripada penyelewengan masa lalu seperti skandal Maminco pada 1980-an, kejatuhan Bank Bumiputera, kerugian besar daripada dagangan forex, Perwaja Steel, beberapa penswastaan, tragedi 1MDB, perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS), pembelian aset ketenteraan, dan terbaru skandal Jana Wibawa,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan bacaan kedua Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan di Dewan Rakyat hari ini.
“Kita mesti pastikan insiden-insiden sebegini tidak berulang pada masa hadapan,” tambahnya.
“Kita juga menegaskan bahawa amalan pemberian kontrak melalui rundingan terus tidak boleh diteruskan,” katanya.
Beliau berkata rang undang-undang itu akan membatalkan hak dan keputusan Menteri Kewangan atau mana-mana pihak berkuasa lain sekiranya sesuatu tender dianugerahkan tanpa mengikut prosedur yang betul.
“Selain daripada tender ini, kita telah melihat hegemoni dan monopoli kartel termasuk untuk perkara sekecil telur, ayam, sayur-sayuran, ubat-ubatan dan aset pertahanan,” katanya.
Beliau berkata rang undang-undang itu selaras dengan komitmen kerajaan Madani terhadap reformasi institusi dan pengukuhan audit dengan menjejaki aliran wang awam serta pengurusan fiskal yang berhemah.
“Kita memberi kebebasan penuh kepada agensi penguatkuasaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk melaksanakan tugas mereka tanpa campur tangan mana-mana pihak,” katanya, sambil menambah bahawa perolehan mesti mengikut prosedur yang betul. - DagangNews.com








