Tiada 'anak tiri' dalam Kerajaan MADANI, peruntukan berdasarkan keperluan – PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiada 'anak tiri' dalam Kerajaan MADANI, peruntukan berdasarkan keperluan – PM Anwar

KUALA LUMPUR 22 Okt - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada istilah 'anak tiri' dalam Kerajaan MADANI kerana setiap keputusan peruntukan dibuat berdasarkan keperluan rakyat dan pembangunan seimbang di seluruh negara.

 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata isu peruntukan kerajaan kepada semua negeri termasuk negeri pembangkang tidak seharusnya dijadikan bahan politik kerana Kerajaan MADANI telah membuktikan komitmen dengan sentiasa menambah peruntukan kepada negeri-negeri terbabit.

 

"Tidak wajar untuk beberapa negeri dikuasai pembangkang di Semenanjung mengatakan 'kami dianaktirikan, kami dizalimi' kerana kenyataannya (hakikatnya) berbeza.

 

“Apa yang kita lakukan dalam beberapa tahun ini, Kerajaan MADANI membuktikan peruntukan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis ditambah, bukan kerana kita pilih untuk tambah, tetapi kerana keperluan,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Integriti Nasional dan Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA 2025) Peringkat Kebangsaan di Putrajaya hari ini.

 

Anwar berkata prinsip keadilan dalam pengagihan sumber dan pembangunan negeri menjadi asas kepada pentadbiran Kerajaan MADANI yang menekankan integriti serta tadbir urus baik.

 

Mengimbau kembali situasi pada 2003 dan 2004 apabila semua peruntukan kepada sekolah agama rakyat dibatalkan kerana perbezaan pandangan politik, Anwar berkata beliau sama sekali tidak bersetuju dengan langkah berkenaan yang mengorbankan masa depan.

 

“Mantan Perdana Menteri (ketika itu) yang menjadi jaguh besar Melayu-Korea sekarang membatalkan semua peruntukan kepada sekolah agama rakyat. Saya tidak setuju. Betul ada masalah kurikulum, tetapi ratusan ribu anak-anak itu dikorbankan kerana perbezaan pandangan politik,” katanya.

 

Anwar berkata selepas mengambil alih pentadbiran, Kerajaan MADANI mengambil inisiatif memulihkan semula sekolah agama rakyat terutama di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

 

Selain itu, Perdana Menteri berkata peruntukan segera RM36 juta telah disediakan bagi membaiki sekolah daif yang menempatkan anak-anak di kampung dan desa.

 

“Sekolah-sekolah anak kita. Mungkin bukan anak-anak kita di sini, tapi anak-anak kita di kampung, di desa yang miskin. Sekolah daif harus dibantu,” katanya.

 

Anwar juga berharap konsep tadbir urus yang baik serta integriti dijadikan asas dalam pentadbiran negara dan tidak dicemari dengan kepentingan politik sempit.

 

Sementara itu Perdana Menteri turut mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan Pemberian Khas Persekutuan sebanyak RM600 juta kepada Sabah.

 

Katanya, kadar pemberian kepada Sabah adalah sekitar RM26 juta sebelum dinaikkan kepada RM300 juta oleh Kerajaan MADANI pimpinannya dan meningkat lagi kepada RM600 juta untuk tahun 2025.

 

“Tanggungjawab kita ialah mengangkat kedudukan, martabat, ekonomi, sosial semua negeri dan dalam memutuskan kerangka besar, kelulusan projek-projek Rancangan Malaysia Ke-13 dan Belanjawan Negara itu diambil kira,” katanya. - DagangNews.com