KUALA LUMPUR 19 Nov - Teo Seng Capital Bhd dijangka berdepan tekanan pendapatan pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 (4QFY2025) berikutan pemansuhan penuh subsidi telur, menurut PublicInvest Research.
Dalam nota penyelidikannya, firma itu berkata proses pengurangan subsidi pada 1 Mei sebelum dimansuhkan sepenuhnya pada 1 Ogos 2025 akan terus menormalkan prestasi kewangan Teo Seng daripada paras tinggi yang direkodkan pada FY2024.
Menurut PublicInvest, bagi 3QFY2025, keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (Patami) Teo Seng merosot 53.2% tahun ke tahun kepada RM25.1 juta apabila pendapatan subsidi susut ketara kepada sekitar RM11 juta berbanding RM37 juta pada tempoh sama setahun lalu.
Penurunan itu dicatatkan walaupun hasil meningkat kepada RM201.5 juta, naik 5.9% YoY, disokong oleh jumlah jualan lebih tinggi dalam segmen penternakan ayam dan peningkatan 4.9% dalam bahagian perdagangan.
Prestasi sembilan bulan pertama menunjukkan Patami teras terkumpul sebanyak RM108.1 juta - mewakili 73% daripada unjuran setahun penuh PublicInvest dan 77% jangkaan konsensus.
Petunjuk pendapatan lebih lemah menjelang akhir tahun
PublicInvest berkata, keputusan sembilan bulan masih berada dalam jangkaan, namun prestasi 3Q membayangkan pendapatan yang lebih lemah ketika memasuki suku terakhir FY2025.
Seiring itu, PublicInvest mengurangkan unjuran pendapatan FY2025–FY2027 sebanyak purata 6% bagi mencerminkan persekitaran tanpa subsidi dan prospek margin yang lebih lembut.
Firma berkenaan mengekalkan saranan NEUTRAL terhadap saham Teo Seng dan menurunkan harga sasaran kepada 98 sen daripada RM1.05, berdasarkan gandaan lima kali pendapatan hadapan FY2026.
PublicInvest menekankan prospek jangka sederhana Teo Seng akan dipacu oleh peluasan produk nilai tambah ber-margin lebih tinggi termasuk telur cecair dan telur rebus, selain peningkatan jualan langsung yang mampu menjimatkan kos dua hingga tiga sen bagi setiap biji telur.
Permintaan telur yang meningkat, kecekapan operasi yang lebih baik serta kos makanan ternakan yang lebih rendah juga dijangka membantu mengimbangi impak operasi tanpa subsidi kerajaan.
Firma penyelidikan itu mengunjurkan purata penguncupan pendapatan sebanyak 22% untuk FY2025–FY2026 sebelum pulih sekitar 8% pada FY2027 apabila strategi nilai tambah tersebut mula memberikan hasil lebih nyata. - DagangNews.com








