TDM catat pendapatan tertinggi RM645.6 juta pada FY24, kekal untung lima tahun berturut-turut  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TDM catat pendapatan tertinggi RM645.6 juta pada FY24, kekal untung lima tahun berturut-turut 

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 18 Jun – TDM Berhad mencatatkan pendapatan tertinggi bagi tahun kewangan 2024 (FY24) sebanyak RM645.6 juta, sekali gus mengekalkan prestasi keuntungan lima tahun berturut-turut.

 

Pengerusi TDM, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, prestasi itu amat membanggakan meskipun berdepan cabaran ekonomi global serta tekanan kos operasi yang meningkat.

 

"Daripada jumlah tersebut, Bahagian Penjagaan Kesihatan yang dikendalikan Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) menyumbang sebanyak RM354.4 juta dengan rangkaian lima hospital pakar dan kapasiti 412 katil.

 

"Sektor penjagaan kesihatan kini menjadi aset strategik utama kumpulan dan dijangka terus berkembang hasil pelaburan berterusan," katanya seperti dilaporkan TRDI News.

 

Bahagian Perladangan menerusi TDM Plantation Sdn Bhd turut mencatat pertumbuhan hasil dengan pendapatan RM291.2 juta berbanding RM261.6 juta pada 2023, didorong harga minyak sawit mentah (MSM) yang stabil serta output pengeluaran yang lebih tinggi.

 

tdm

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 yang berlangsung di KMI Kuala Terengganu Medical Centre.

 

Mengulas lanjut, Tengku Seri Bijaya menegaskan kekuatan sebenar TDM terletak pada struktur organisasi yang mantap, pasukan pengurusan cekap serta hala tuju perniagaan yang jelas dan bersepadu.

 

"Kami juga memiliki pengurusan yang efisien dalam kedua-dua sektor perladangan dan penjagaan kesihatan, dengan pengurus ladang antara tunjang utama kejayaan syarikat," tambah beliau.

 

TDM terus komited memperkemas operasi ke tahap maksimum demi menjamin pulangan jangka panjang yang mampan.- DagangNews.com