KUALA LUMPUR 30 Sept - Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengumumkan pelarasan automatik bahan api (AFA) bagi Oktober ditetapkan pada rebat 6.5 sen per kWj, berbanding 1.10 sen per kWj pada September, menurut laman web syarikat utiliti nasional itu.
AFA yang diperkenalkan Suruhanjaya Tenaga pada Julai lalu menyediakan pelarasan bulanan terhadap tarif elektrik berdasarkan kos bahan api terdahulu seperti gas dan arang batu yang digunakan di loji janakuasa serta kadar pertukaran mata wang asing.
AFA menggantikan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) yang diselaraskan setiap enam bulan.
Perubahan ini bermakna tarif elektrik lebih murah lebih 5 sen/kWj berbanding September lalu, apabila kadar hanya 1.1 sen/kWj.
Bagaimanapun, ia tidak terpakai kepada pengguna domestik berkeperluan rendah yang menggunakan kurang daripada 600kWj sebulan (bersamaan kira-kira bil bulanan RM216), kerana golongan itu dikecualikan daripada AFA sama ada dalam bentuk surcaj atau rebat.

AFA juga tidak terpakai kepada pengguna yang melanggan tarif elektrik hijau (GET) yang memperakui tenaga diperoleh daripada sumber tenaga boleh diperbaharui.
Pergerakan AFA dihadkan ke atas dan ke bawah pada tiga sen per kWj setiap bulan. Sebarang pelarasan melebihi paras itu, seperti perubahan Oktober ini, memerlukan kelulusan Jemaah Menteri.
Menurut unjuran tiga bulan TNB, rebat dijangka kekal pada kadar 5.27 sen/kWj pada November, 5.68 sen/kWj pada Disember, dan 1.10 sen/kWj pada Januari 2026. - DagangNews.com








