KUALA LUMPUR 17 Julai - Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN-5 dijangka merosot kepada hanya tiga peratus pada tahun 2025 dan serendah 1.5 peratus pada tahun 2026 sekiranya kesan berantai daripada tarif Amerika Syarikat (AS) berterusan, kata pakar ekonomi Bloomberg Asia Tenggara, Dr Tamara Mast Henderson.
Ini berbanding angka pertumbuhan 4.5 peratus pada 2024, kata Henderson, sambil menambah bahawa kesan berantai itu termasuk aliran pelaburan yang berkurangan, eksport yang semakin lemah dan keyakinan perniagaan yang merosot.
Negara ASEAN-5 terdiri daripada Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand.
"Lebih banyak kesan gangguan akan datang daripada pelaburan pada tahun 2025, manakala eksport memainkan peranan yang lebih kecil," katanya seperti yang dipetik oleh CIMB Securities Sdn Bhd dalam satu nota pada hari Rabu.
Henderson turut menyatakan bahawa pelaburan langsung asing (FDI) akan menghadapi persaingan yang semakin sengit di rantau ini apabila AS meningkatkan usaha untuk membawa pulang aktiviti pembuatan dan pengeluaran ke dalam negara (reshoring), dengan aliran pelaburan dijangka semakin beralih daripada Asia Tenggara.
"Usaha reshoring ini berkemungkinan besar akan 'menyedut' modal yang sepatutnya disalurkan ke pasaran membangun Asia, sekali gus mencipta persaingan hebat untuk FDI yang masih tinggal," katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa Malaysia berada dalam kedudukan yang genting, memandangkan 7.5 peratus daripada KDNK negara datang daripada eksport ke AS, dan keseluruhan eksport mewakili lebih dua pertiga daripada ekonomi negara.
"Negara ini berdepan tarif sebanyak 25 peratus, dan disebabkan hubungan rapatnya dengan China – termasuk beberapa memorandum persefahaman (MoU) dan penyertaan dalam inisiatif berkaitan BRICS – tarif ini tidak mungkin diturunkan," katanya.
Selain kejutan perdagangan, pengeluaran minyak mentah Malaysia juga telah menunjukkan trend penurunan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ini menambah tekanan kepada harga minyak yang semakin lemah, yang akan menjejaskan hasil kerajaan serta keupayaan untuk menyokong ekonomi domestik.
"Sektor eksport utama Malaysia, iaitu peralatan elektrik, amat terdedah," katanya.
Henderson menjangkakan pertumbuhan KDNK Malaysia akan jatuh di bawah empat peratus pada tahun 2025, dengan pertumbuhan yang lebih lemah lagi mungkin berlaku pada tahun 2026 sekiranya tarif masih berkuat kuasa.
Bagi AS pula, beliau berkata ekonomi terbesar dunia itu turut dijangka mengalami kesan negatif, memandangkan rejim tarif yang lebih tinggi akan meningkatkan kos input, mengurangkan permintaan domestik, dan memperlahankan pertumbuhan KDNK.
"Selain itu, ia akan mengehadkan keupayaan Rizab Persekutuan (Federal Reserve) untuk menurunkan kadar faedah dalam jangka masa terdekat, sekaligus mewujudkan persekitaran dasar makro yang mencabar," katanya. – Bernama








