Tan Sri Abdul Wahid Omar kini Pengerusi Cypark Resources | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tan Sri Abdul Wahid Omar kini Pengerusi Cypark Resources

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 4 Jun – Cypark Resources Bhd melantik Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah baharu berkuat kuasa 9 Jun 2025.

 

Pelantikan itu dibuat susulan peralihan Datuk Hamidah Moris ke jawatan Pengarah Urusan Kumpulan.

 

Syarikat itu berkata, langkah tersebut adalah sejajar dengan hala tuju strategik bagi memperkukuh penyeliaan bebas dan memperkasa barisan pengurusan eksekutif yang berwibawa.

 

"Pemisahan jawatan Pengerusi dan Pengarah Urusan diyakini dapat memperkukuh tadbir urus, ketelusan, dan akauntabiliti, sejajar dengan piawaian terbaik dalam kalangan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Hamidah Moris berkata, Cypark kini bersedia mencapai ke tahap seterusnya.

 

"Dalam tempoh 12 bulan lalu, kami menambah 270MWp kapasiti tenaga solar dan meningkatkan prestasi penjanaan tenaga daripada kemudahan jana kuasa sisa kepada tenaga sebanyak 25%.

 

"Hasil ini mencerminkan ketahanan Lembaga Pengarah kami yang diperbaharui pada 2024 serta komitmen pasukan kepimpinan baharu terhadap kecemerlangan," katanya.

 

Dalam pada itu, Cypark turut melantik Datuk Dr Gue See Sew sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif yang akan berkuat kuasa pada tarikh sama. - DagangNews.com