Taliworks diramal catat untung rendah susulan kelewatan projek Sungai Rasau - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Taliworks diramal catat untung rendah susulan kelewatan projek Sungai Rasau - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Mei — Taliworks Corporation Berhad diramal hanya mampu mencatatkan keuntungan lebih rendah disebabkan isu kelewatan pembinaan projek Sungai Rasau di Selangor dan penurunan aktiviti penjualan air bermeter, kata RHB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, perniagaan berkenaan yang direkodkan lebih rendah daripada jangkaan turut menyebabkan pengecilan keuntungan kumpulan itu pada 1QFY25 kepada RM10.5 juta.


Ia menambah, kejatuhan sebanyak 30 peratus tahun ke tahun (y-o-y) itu sebenarnya tidak menepati ramalan mereka sendiri apabila membentuk kira-kira 12 peratus daripada unjuran setahun penuh. 


"Situasi negatif itu turut dipengaruhi oleh kelewatan kerja-kerja pembinaan projek Sungai Rasau di Selangor yang telah dimenanginya sebelum ini," kata RHB Research dalam satu nota kajiannya.


Bagaimanapun, firma tersebut menjangka langkah strategik Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd mahu membangunkan empat loji rawatan air baharu menjelang 2030 mungkin boleh membantu Taliworks.


Usaha dilaksanakan anak syarikat kerajaan negeri berkenaan diramalkan dapat meningkatkan margin rizab air yang berjumlah 18 peratus setakat September 2024 berbanding 15 peratus pada 2023.


Justeru kata RHB Research, sebarang kemenangan kontrak baharu untuk segmen pembinaan Taliworks boleh menjadi faktor penilaian semula kepada potensi saham kumpulan tersebut pada masa depan.


"Pekerjaan terakhir yang dimenangi oleh kumpulan ini adalah pada 16 Disember 2021 melibatkan pembangunan pakej Fasa 1 bernilai RM602.43 juta yang telah selesai pada akhir 2024," katanya.


Firma tersebut turut menggemari saham Taliworks untuk tumpuan domestik serta berdasarkan ramalan hasil dividen pada FY26 yang menarik apabila dijangka mampu meningkat sebanyak enam peratus.


Kumpulan berkenaan kata RHB Research, namun perlu berdepan dengan pelbagai risiko tidak dijangka termasuk aliran trafik yang lebih rendah daripada jangkaan dan kadar penggunaan air semasa.


Ia masih lagi mengekalkan saranan 'beli' manakala harga sasaran pula disemak semula kepada RM1.01 berbanding 98 sen sesaham, iaitu peningkatan 49 peratus. - DagangNews.com