Synergy House terima bayaran balik tarif RM7.83 juta bagi duti import penghantaran ke AS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Synergy House terima bayaran balik tarif RM7.83 juta bagi duti import penghantaran ke AS

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 9 Julai — Pengeluar perabot, Synergy House Bhd menerima bayaran balik tarif berjumlah AS$1.92 juta (RM7.83 juta) bagi duti import yang sebelum ini dibayar untuk penghantaran barangan ke Amerika Syarikat (AS).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata bayaran balik tersebut melibatkan tarif yang dikenakan di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) yang diperkenalkan oleh Presiden AS, Donald Trump pada tahun lalu.

 

Menurutnya, bayaran balik itu dibuat oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) susulan keputusan mahkamah di negara itu yang membatalkan pelaksanaan tarif berkenaan.

 

Syarikat itu turut memaklumkan bayaran balik tarif berkaitan IEEPA berjumlah AS$10,916 (RM44,457) masih menunggu proses oleh CBP.

 

Bayaran balik kukuhkan aliran tunai kumpulan

Synergy House berkata, bayaran balik tersebut dijangka meningkatkan aliran tunai kumpulan.

 

Bagaimanapun, kesannya terhadap prestasi kewangan bagi tahun semasa bergantung kepada kaedah perakaunan yang digunakan terhadap bayaran balik itu, khususnya sama ada kos tarif berkenaan telah diiktiraf dalam inventori yang telah dijual atau masih belum dijual.

 

Pada masa sama, kumpulan itu menjelaskan bayaran balik tersebut tidak melibatkan tarif yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974, yang mula berkuat kuasa pada 24 Februari lalu.

 

Sehingga 7 Julai, Synergy House telah membayar tarif sebanyak AS$37,532 (RM152,847) di bawah Seksyen 122.

 

"Prosiding undang-undang berkaitan tarif di bawah Seksyen 122 masih berjalan di mahkamah AS dan, oleh itu, tiada sebarang bayaran balik diiktiraf atau diterima berhubung tarif tersebut," katanya.

 

Amerika Utara penyumbang utama hasil Synergy House

Synergy House beroperasi menerusi empat segmen perniagaan iaitu perniagaan kepada perniagaan (B2B), perniagaan kepada pengguna (B2C), perkhidmatan pemudah cara e-dagang rentas sempadan serta penyelesaian automasi berasaskan teknologi.

 

Menerusi segmen B2C, kumpulan itu memberi perkhidmatan kepada pasaran seperti AS, United Kingdom (UK), Kanada dan Malaysia dengan menjual produk terus kepada pengguna melalui kedai dalam talian sendiri serta platform e-dagang pihak ketiga seperti Wayfair.

 

Berdasarkan laporan tahunan kumpulan, Amerika Utara merupakan penyumbang terbesar kepada hasil Synergy House bagi tahun kewangan 2025 (FY2025), iaitu sebanyak 61%, diikuti Eropah (29%), Asia tidak termasuk Malaysia (7%) dan Malaysia (3%). — DagangNews.com