KUCHING 8 Okt – Penyedia rumusan teknologi berasaskan air Sarawak, Insights Analytics Berhad, menyasar untuk menjanap RM43.56 juta hasil daripada penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
Daripada jumlah itu, RM22.2 juta akan diperuntukkan bagi menyokong modal kerja untuk projek sedia ada dan akan datang, khususnya dalam sektor pengurusan air pintar serta inisiatif pembangunan bandar pintar Sarawak.
Baki dana akan diagihkan seperti berikut:
- RM4.4 juta bagi tujuan pengembangan pejabat korporat di Sarawak, yang akan merangkumi penubuhan pusat data mini;
- RM1.86 juta untuk pengembangan operasi IT; dan
- RM1.21 juta untuk pengembangan pejabat cawangan di Semenanjung Malaysia.
- RM9 juta akan diperuntukkan bagi pelaburan strategik, peluang penggabungan dan pengambilalihan (M&A)
- RM4.91 juta lagi akan digunakan untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.
Pengarah Urusan Insights Analytics, Frank Wee berkata peruntukan ini akan memperkukuh kecairan dan kedudukan aliran tunai syarikat seiring pertumbuhan perniagaan.
“Segmen rumusan teknologi air kami dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan terhadap kecekapan operasi dalam pengurusan air, usaha mengurangkan kehilangan air tanpa hasil (non-revenue water), serta inisiatif kerajaan yang menggalakkan penggunaan teknologi untuk pengurusan sumber air yang mampan.
"Penambahbaikan berterusan terhadap penyelesaian dan peluasan operasi akan memperkukuh daya saing serta membuka peluang pasaran baharu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, dana yang dikumpul akan digunakan bagi membiayai sebahagian kos subkontraktor, peranti dan instrumen IoT, bahan habis pakai berkaitan sistem pengurusan air, serta reka bentuk dan pembinaan kemudahan rawatan air.

Pada majis pelancaran prospektus syarikat di Kuching pada Selasa yang diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Wee berkata penyenaraian ini mencerminkan kesiapsiagaan Insights Analytics untuk memperluas operasi dan jangkauan pasaran.
“Mengapa kami memilih untuk disenaraikan? Kerana kami percaya teknologi untuk pengurusan air dan aset bukan lagi satu bidang khusus, tetapi satu keperluan nasional dan serantau.
"Yang paling penting, kami kini bersedia untuk berkembang. Ini tentang membina tulang belakang digital bagi menyokong fasa pertumbuhan seterusnya — bukan sahaja dalam bidang air, tetapi juga dalam sektor lain yang mencari penyelesaian infrastruktur yang lebih pintar dan mampan,” katanya.
Beliau turut menambah, syarikat telah menunjukkan pertumbuhan stabil dan menguntungkan sepanjang tempoh operasinya.
Bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2025, syarikat mencatatkan prestasi terbaik setakat ini dengan hasil sebanyak RM49.6 juta dan keuntungan bersih RM19 juta, mencerminkan asas kukuh dan kebolehskalaan perkhidmatan berasaskan teknologi mereka.
“Pada masa yang sama, kami telah membina kerjasama strategik yang memperkukuh rumusan kami — daripada penilaian paip lanjutan tanpa pencerobohan dan analitik ramalan untuk pengesanan kebocoran, hinggalah kepada cerapan berasaskan AI serta teknologi pemantauan generasi baharu.
Kerjasama ini memastikan tawaran kami kekal relevan dan berimpak kepada pelanggan serta komuniti yang kami berkhidmat.
Melangkah ke hadapan, kami akan memperluas lagi keupayaan dalam AI dan digital twin — teknologi yang akan memacu sistem infrastruktur pintar dan menjadi asas kepada bandar pintar saling berhubung pada masa depan,” jelas beliau.
Sehingga 8 September 2025, buku pesanan belum dibil syarikat berjumlah RM35.3 juta, yang akan diiktiraf secara progresif sepanjang enam tahun kewangan akan datang berdasarkan kemajuan projek.
Pada harga IPO RM0.36 sesaham, modal pasaran syarikat dijangka mencecah RM198 juta selepas penyenaraian, berdasarkan modal saham diperbesar sebanyak 550 juta saham.
IPO ini dibuka untuk langganan sehingga 13 Oktober 2025, manakala penyenaraian di Pasaran ACE dijadualkan pada 27 Oktober 2025.
M&A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai Penasihat, Penaja, Penjamin dan Ejen Penempatan bagi pelaksanaan IPO ini. - DagangNews.com








