Syarikat perladangan Malaysia terdedah kepada impak kewangan susulan peraturan baharu kerajaan Indonesia - CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat perladangan Malaysia terdedah kepada impak kewangan susulan peraturan baharu kerajaan Indonesia - CGS International

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 21 Okt - Syarikat Malaysia yang terbabit dalam aktiviti perladangan di Indonesia dijangka menerima impak kewangan daripada denda one-off susulan pengenalan peraturan baharu oleh kerajaan republik itu, kata CGS International.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagaimanapun langkah itu berpotensi mencetuskan tekanan penurunan harga saham jangka pendek.

 

"Walau bagaimanapun, kehilangan hasil berulang dijangka memberi kesan pendapatan yang kurang ketara berbanding jumlah denda satu kali tersebut," katanya dalam nota penyelidikan terkini.

 

Menurut CGS, berdasarkan laporan agensi berita AntaraNews bertarikh 5 Oktober 2025, kerajaan Indonesia telah menguatkuasakan Peraturan Pemerintah (PP) No. 45/2025, yang mengenakan denda sebanyak Rp25 juta untuk satu hektar, satu tahun terhadap ladang sawit yang beroperasi dalam kawasan hutan tanpa kelulusan sah.

 

Peraturan baharu ini menggantikan PP No. 24/2021, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperketat kawal selia penggunaan tanah. Difahamkan, terdapat kira-kira 3.0 juta hingga 3.5 juta hektar ladang sawit kini dikenal pasti berada dalam kawasan hutan yang ditetapkan.

 

Sebelum ini, di bawah PP No. 24/2021, pemilik ladang dibenarkan untuk mengabsahkan pemilikan tanah mereka melalui pembayaran denda pentadbiran dan pematuhan kepada standard alam sekitar. 

 

Namun, PP No. 45/2025 kini meningkatkan kadar penalti dengan ketara dan meluaskan kuasa penguatkuasaan, mencerminkan pendirian kerajaan yang lebih tegas terhadap isu pematuhan tanah.

 

Menurut CGS, di samping impak sekali gus (one-off) daripada denda yang berpotensi tinggi, syarikat perladangan juga berisiko kehilangan hasil berulang dari kawasan tanah yang dirampas. 

 

"Kami menjangkakan kos penurunan nilai (impairment) akan menjadi lebih tinggi sekiranya tanah yang dipertikaikan dimiliki secara langsung oleh syarikat (ladang nucleus), berbanding tanah yang diusahakan oleh pekebun kecil (plasma).

 

"Berdasarkan semakan saluran (channel checks), kebanyakan tanah yang dipertikaikan dipercayai dimiliki oleh pekebun kecil," katanya. 

 

Bagi memberi gambaran kesan peraturan baharu itu dalam situasi kekurangan maklumat rasmi setakat ini, CGS membuat anggaran berdasarkan 500 hektar tanah yang terlibat, dengan tempoh penggunaan selama 15 tahun merentasi beberapa syarikat perladangan.

 

Berdasarkan andaian ini, potensi denda dijangka memberi kesan ketara kepada keuntungan bersih tahun kewangan 2025 (FY25F), dengan syarikat seperti Genting Plantations (GENP MK, Tahan, Harga Semasa: RM4.90, TP: RM5.30) dan Kuala Lumpur Kepong (KLK MK, Tahan, Harga Semasa: RM20.50, TP: RM20.40) berisiko mencatat impak negatif terbesar.

 

"Anggaran menunjukkan potensi penurunan keuntungan bersih sekitar 0.7% hingga 11% dalam FY25F, tidak termasuk impak penurunan nilai tanah kerana kekurangan data rasmi berkaitan jumlah kawasan serta pecahan antara ladang nucleus dan plasma," katanya.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan itu mengesyorkan pelabur memberi tumpuan kepada syarikat perladangan yang mempunyai pendedahan lebih tinggi di Malaysia, memandangkan ketidaktentuan dasar di Indonesia berikutan peraturan baharu ini.

 

"Kami mengekalkan penarafan Neutral ke atas sektor ini, memandangkan operasi hiliran masih mencabar untuk pemain besar seperti KLK dan IOI Corporation (IOI MK, Tahan, Harga Semasa: RM3.90, TP: RM3.70). 

 

"Namun, terdapat potensi lonjakan harga minyak sawit mentah (CPO) pada suku keempat 2025 hingga suku pertama 2026, yang dijangka memberi manfaat kepada syarikat berasaskan huluan (upstream) sepenuhnya," katanya.

 

Kaunter pilihan utama CGS bagi sektor ini ialah SD Guthrie, Hap Seng Plantations, Ta Ann (TAH MK, Tambah, Harga Semasa: RM4.31, TP: RM6.10).

 

"Kami juga menyukai Wilmar International yang kini diniagakan pada 10x ganda P/E FY2026F, lebih rendah daripada purata sejarah lima tahun syarikat tersebut – menjadikannya nilai pelaburan menarik," katanya. - DagangNews.com