KUALA TERENGGANU 28 Feb - Syarikat Hassan Majid Sdn. Bhd, pengeluar pelbagai jenis rempah masakan tradisional asli Terengganu, menyasarkan jualan sebanyak RM6.6 juta pada tahun ini.
Pengarah Jualan, Pembangunan Perniagaan & Perkongsian Strategiknya, Kamarul Hassan berkata, ia adalah sasaran peningkatan lebih RM1.6 juta berbanding jualan RM5 juta yang direkodkan pada tahun lalu.
Menurutnya, peningkatan itu adalah realistik untuk dicapai memandangkan produk rempah jenama Cap Bunga Rose keluaran syarikat semakin kukuh di pasaran Malaysia dan Indonesia ketika ini.
"Antara strategi syarikat ialah dengan melantik lebih ramai pengimport baharu di Indonesia untuk rangkaian pengedaran yang lebih luas di negara itu.
"Walaupun baharu bertapak di Indonesia, namun kita yakin dengan komitmen yang diberi mampu melonjakkan jualan syarikat melalui strategi jualan diatur untuk segmen negara tersebut," katanya kepada DagangNews.com

Rempah Cap Bunga Rose adalah antara bahan 'wajib' yang terdapat di kebanyakan rumah rakyat Terengganu yang begitu sinonim dengan masakan gulai terutama ikan tongkol untuk hidangan nasi dagang.
Ketika ini, terdapat beberapa produk yang dikeluarkan syarikat iaitu rempah gulai, rempah masak, serbuk kacang hijau dan pes gulai ayam yang diadun dari rempah ratus Melayu diperbuat daripada 100 peratus bahan-bahan asli mentah terpilih.
Kamarul berkata, antara keunikan produk keluaran syarikat itu ialah ia sesuai digunakan untuk pengamal cara hidup vegan dan bebas gluten.
"Untuk pasaran Malaysia pula, kami turut membuka peluang kepada lebih ramai pemborong, pemilik kedai runcit dan pasaraya untuk menjadi sebahagian daripada rangkaian pengedar kami.
"Rempah Cap Bunga Rose mendapat permintaan tinggi di pasaran dan kami menawarkan keuntungan yang berbaloi dengan harga kompetitif dan margin keuntungan yang menarik.
"Produk ini juga tahan lama kerana tarikh luputnya ialah hingga dua tahun dan syarikat akan menyediakan bahan promosi serta strategi pemasaran," katanya.
Mengimbas semula permulaan syarikat itu bertapak, Kamarul berkata, semuanya dibuat secara kecil-kecilan pada tahun 1968.
"Arwah ibu saya, Kembang Abd Rahman ketika itu menghasilkan rempah ini secara tradisional di rumah untuk digunakan dalam masakan keluarga selain dijual kepada jiran, rakan dan sanak saudara.
"Arwah ayah, Hassan Majid pula adalah peniaga di pasar berdekatan dan mereka memulakan perniagaan rempah ini secara serius selepas mendapat reaksi positif daripada orang ramai hingga.

"Alhamdulillah ini adalah perniagaan keluarga yang kami usahakan 10 beradik sehingga ke tahap mempunyai dua kilang yang beroperasi di Kampung Kepong, Kuala Terengganu dan juga di Bukit Kor, Marang dengan kekuatan 34 pekerja," katanya.
Syarikat tersebut turut dibantu banyak jabatan dan agensi kerajaan berkaitan keusahawanan dari segi bimbingan produk, pelabelan, pembungkusan dan prosedur eskport ke luar negara.
Antara yang banyak membantu ialah Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Mengulas lanjut, Kamarul berkata, syarikat juga telah mempunyai Pusat Informasi & Cenderamata berasaskan produk Rempah Cap Bunga Rose yang telah beroperasi di Pasar Payang bermula Januari lalu bagi memenuhi tempahan 'goodies' perkahwinan, hantaran dan hadiah untuk orang kenamaan.
"Harapan kami mahu terus memajukan jenama ini agar setanding dengan produk rempah yang terkemuka di negara ini," katanya. - DagangNews.com








