KUALA LUMPUR 29 April — Syarikat perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) domestik kekal dalam kedudukan baik mendapat keuntungan daripada perang perdagangan berterusan Amerika Syarikat (AS)-China, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan tersebut berkata, tarif menyeluruh yang diumumkan AS pada 2 April 2025 melibatkan banyak negara di seluruh dunia itu telah mengukuhkan pula daya tarikan Malaysia sebagai pangkalan pembuatan berbanding dengan China sendiri.
Ia berkata, berdasarkan lawatannya ke Pulau Pinang baru-baru ini bertemu banyak syarikat EMS dan fabrikasi logam mendapati sentimen di lapangan sebahagian besarnya kekal 'berniaga seperti biasa' walaupun mengikuti perkembangan tarif itu.
"Sesetengah pemain EMS kelihatan berada pada kedudukan baik meraih manfaat daripada masalah semasa, manakala perniagaan yang terikat perbelanjaan modal semikonduktor global mungkin ada cabaran jangka pendek," katanya dalam satu nota kajian.
Maybank IB menjangkakan bahawa firma EMS dan fabrikasi logam tempatan bertindak memuatkan pengeluaran hadapan sebelum pelaksanaan tarif itu dan ia terbukti sebelum pengumuman oleh Presiden Donald Trump mengenai tarif menyeluruh di seluruh dunia.
Bagaimanapun katanya, dengan seluruh dunia tidak termasuk China, kini tertakluk kepada tarif sama, kebanyakan syarikat yang ditemui oleh firma penyelidikan itu menggambarkan persekitaran semasa sebagai 'perniagaan seperti kelaziman'.
"Kebimbangan terhadap penyerapan tarif AS dipercayai sebahagian besarnya telah berjaya ditangani, dengan kebanyakan pelanggan dijangka menanggung kos itu, walaupun perkongsian secara separa mungkin masih lagi berkemungkinan," katanya.
Ia menekankan bahawa syarikat EMS memberikan potensi penurunan pengeluaran untuk produk lebih baharu, khususnya model yang terperangkap dalam isu pertikaian tarif AS-China atau perlu ditangguhkan akibat kitaran perbelanjaan modal global.
Justeru Maybank IB berpandangan, sementara hasil jangka pendek kekal disokong oleh operasi sedia ada, pertumbuhan dalam tempoh itu boleh dikekang kerana kelembapan dalam pelancaran produk baharu dan inisiatif perbelanjaan modal.
"Walaupun syarikat multinasional global mungkin 'tunggu dan lihat' ekoran ketidaktentuan tarif, pengilang EMS di lapangan tetap optimis terhadap trend kepelbagaian China+1, dan kini menandakan kemunculan strategi Vietnam+1," katanya.
Negara tersebut kata firma itu, terdedah kepada beberapa kadar tarif palig tinggi dalam kalangan rakan setara ASEAN semasa fasa awal sehingga telah menimbulkan kebimbangan untuk pelanggan mereka yang beroperasi di rantau ini.
Di sebalik latar belakang tidak menentu, ia menyatakan beberapa syarikat menyerlahkan kemajuan positif menerima pelanggan baharu di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang berterusan walaupun berhati-hati dalam jangka terdekat. - DagangNews.com








