KUALA LUMPUR 7 Mei — Kerajaan menetapkan beberapa kriteria untuk dipatuhi syarikat-syarikat reka bentuk semikonduktor tempatan yang ingin mengambil bahagian dalam rangka kerja reka bentuk cip termaju di bawah kerjasama Malaysia dengan Arm Holdings plc.
Pegawai Khas (Dasar) Kementerian Ekonomi, James Chai berkata, antaranya firma yang berminat perlu menyerahkan pelan hala tuju produk mereka secara terperinci dan juga memberikan bukti kedudukan stabil aliran tunai syarikat kepada kementerian tersebut.
Laporan itu katanya, turut disokong penyata kewangan diaudit dari dua hingga tiga tahun lalu kerana ia sebahagian keperluan digariskan dalam proses permohonan ketat bagi mengakses harta intelek Arm, yang berpangkalan di Cambridge, United Kingdom.
"Pihak kementerian turut menggalakkan pemohon yang berminat untuk terus mendaftarkan hasrat mereka di laman web Silicon Valley," kata beliau pada sesi libat urus dan taklimat industri dihoskan Malaysia Semiconductor IC Design Park di Puchong.
Sesi berkenaan memperincikan proses permohonan dan kriteria kelayakan utama bagi syarikat ingin mengambil bahagian dalam kerjasama Malaysia-Arm serta mengakses reka bentuk cip dan teknologi termaju yang penting untuk pembangunan semikonduktor.
Pada 6 Mac 2025, Malaysia memeterai perjanjian bernilai AS$250 juta (RM1.1 bilion) dengan Arm, yang menjangkau tempoh sepuluh tahun, sebagai sebahagian daripada strategi kerajaan untuk meningkatkan keupayaan reka bentuk semikonduktor tempatan.
Sasarannya ialah untuk menghasilkan cip unit pemprosesan grafik (GPU) rekaan Malaysia sendiri dalam masa lima hingga tujuh tahun, untuk dapat memenuhi peningkatan permintaan global terhadap produk kecerdasan buatan (AI) dan pusat data.
Artikel berkaitan
Arm Holdings bantu Malaysia capai matlamat industri semikonduktor
Perkongsian RM1.1 bilion dengan Arm Holdings menandakan permulaan gelombang semikonduktor kedua Malaysia - PM Anwar
Kerjasama dengan Arm Holdings tingkatkan kedudukan Malaysia dalam ekosistem semikonduktor - penganalisis
Inisiatif baharu itu menawarkan dua peringkat akses iaitu Akses Fleksibel Arm (AFA), yang disesuaikan untuk syarikat pemula dan berskala lebih kecil, serta Subsistem Pengiraan Arm (CSS), bagi perusahaan bersaiz besar dan sudah mantap.
"Untuk mempercepatkan pembangunan rantaian nilai semikonduktor hadapan Malaysia, kerajaan menggalakkan syarikat pemula untuk mempertimbangkan AFA sebagai titik masuk mereka ke dalam reka bentuk cip," kata James pada taklimat tersebut.
Kebanyakan syarikat reka bentuk semikonduktor di Malaysia tambah beliau, layak menyertai AFA, dan penting untuk kerajaan membantu mereka mula mereka bentuk produk sendiri, yang kemudiannya boleh dijual ke pasaran yang lebih luas.
Bagaimanapun katanya, ramai daripada mereka kemungkinan masih teragak-agak untuk melompat terus kepada akses CSS kerana ia lebih kompleks dan mahal, namun beliau berharap ramai dari kalangan syarikat akan serius mempertimbangkan untuk memohon AFA.
"Kami melihat AFA sebagai batu loncatan. Lebih banyak syarikat 'matang' boleh mengikuti CSS, manakala yang kurang pula boleh bermula dengan AFA sebelum beralih ke atas dari semasa ke semasa. Itulah mesej yang ingin kami hantar," kata beliau.
Selain itu tambah James, kerajaan juga bersedia melonggarkan beberapa syarat tertentu kepada syarikat-syarikat reka bentuk tempatan dalam usaha menyokong pembangunan ekosistem semikonduktor tempatan dengan lebih baik. - DagangNews.com








