Syahrunizam Samsudin berundur sebagai CEO UEM Edgenta berkuat kuasa 31 Ogos 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syahrunizam Samsudin berundur sebagai CEO UEM Edgenta berkuat kuasa 31 Ogos 2025

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Julai — UEM Edgenta Bhd mengumumkan peletakan jawatan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Syahrunizam Samsudin, berkuat kuasa 31 Ogos 2025.


Syarikat pengurusan aset dan penyelesaian infrastruktur tersebut berkata, Syahrunizam, 51, meletakkan jawatannya itu untuk mengejar peluang yang lain.


Syahrunizam sebelum itu menggantikan Datuk Azmir Merican Azmi Merican pada Mei 2020.


“Lembaga telah memulakan proses mengenal pasti pengganti yang sesuai untuk peranan itu,” kata UEM Edgenta dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Menurut laporan tahunan kumpulan itu, Syahrunizam memulakan kerjayanya sebagai pegawai Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) yang kembali berkhidmat di bahagian perancangan dan pembangunan korporat.


Beliau kemudiannya menjadi pemegang saham pengasas dan Ketua Pegawai Operasi untuk sebuah syarikat penyumberan luar teknologi maklumat pertama PETRONAS.


Sebelum menyertai UEM Edgenta, beliau merupakan CEO Touch ‘n Go Sdn Bhd.


Mengenai prestasi 1QFY25, syarikat itu dalam makluman kepada bursa berkata, ia kekal fokus pada pengembangan perniagaan antarabangsa dengan mengukuhkan kedudukannya di pasaran utama.


"Ini termasuk Singapura, Taiwan, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi kerana ia membentangkan peluang pertumbuhan yang ketara sejajar dengan keupayaan dan visi jangka panjang kami," katanya.


Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025, UEM Edgenta melaporkan kerugian bersih RM17.95 juta berbanding keuntungan bersih RM9.77 juta pada tempoh yang sama sebelumnya.


Sementara itu, hasil kumpulan berkenaan susut kepada kira-kira RM646.06 juta daripada sebanyak RM677.58 juta setahun lalu. - DagangNews.com