KUALA LUMPUR 22 Okt – Solarvest Holdings Bhd berada pada landasan lebih kukuh untuk meneroka projek tenaga boleh baharu (RE) berskala besar selepas mencadangkan penempatan saham persendirian yang bakal mengukuhkan struktur modal syarikat secara ketara, menurut RHB Research.
Bank pelaburan itu berkata, penempatan sehingga 10 peratus saham baharu kepada pelabur pihak ketiga bebas dijangka meraih hasil kasar sehingga RM254.1 juta, dengan penyelesaian disasarkan pada separuh pertama tahun 2026 tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.
"Selepas penempatan ini, modal saham Solarvest akan melonjak kepada RM570 juta berbanding RM315.9 juta sebelum ini, manakala jumlah saham terbitan meningkat kepada 932.4 juta unit daripada 847.7 juta unit," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
RHB berkata, nilai aset bersih (NTA) sesaham Solarvest dijangka meningkat kepada RM0.77 daripada RM0.55 secara pro forma, manakala nisbah hutang kepada ekuiti (gearing ratio) dijangka menurun secara drastik kepada 0.38 kali berbanding 0.69 kali sebelum ini.
"Langkah ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat, malah memberi fleksibiliti modal yang lebih tinggi untuk meneroka projek-projek RE yang lebih besar dan strategik," katanya.
Menurut RHB, Solarvest akan menggunakan sekitar RM124.6 juta atau 49% daripada hasil penempatan bagi perbelanjaan modal (capex) projek solar fotovolta seperti LSS5, LSS5+ dan projek Mukah dalam tempoh 24 bulan akan datang.
Sementara itu, RM50 juta akan diperuntukkan bagi pembayaran balik pinjaman, manakala RM79.2 juta pula disalurkan bagi modal kerja untuk menyokong pelaksanaan projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM1.18 bilion yang sedang dijalankan.
"Solarvest juga masih mempunyai sebanyak 59.2 juta opsyen saham pekerja (ESOS) yang belum dilaksanakan, dengan 23.2 juta daripadanya telah pun dilayakkan (vested).
“Dengan pengurangan leverage dan pengukuhan asas ekuiti, kedudukan kewangan Solarvest akan menjadi lebih fleksibel untuk menyertai projek berskala besar dan memperluaskan lagi portfolio tenaga boleh baharunya,” jelas pihak syarikat.
Susulan cadangan penempatan persendirian ini RHB menyemak semula unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 dengan kenaikan masing-masing sebanyak 4.6%, 9.4% dan 9%. Peningkatan ini didorong oleh penjimatan kos faedah hasil pengurangan pinjaman.
RHB turut menyemak andaian kos pembiayaan di peringkat projek dan syarikat induk, selain menaikkan gandaan PE sasaran bagi pelaburan syarikat bersekutu dan pendapatan aset solar.
"Setelah mengambil kira pembesaran asas saham susulan penempatan dan ESOS, harga sasaran (TP) disemak semula sedikit lebih rendah kepada RM3.49 sesaham, namun masih menawarkan potensi kenaikan sekitar 10%.
"Penilaian ini turut merangkumi premium ESG sebanyak 8%, sejajar dengan skor ESG Solarvest sebanyak 3.4 – melebihi median negara sebanyak 3.0," katanya. - DagangNews.com








