Status Bank Rakyat kekal bank koperasi, tiada rancangan tukar kepada bank komersial, Parlimen diberitahu  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Status Bank Rakyat kekal bank koperasi, tiada rancangan tukar kepada bank komersial, Parlimen diberitahu 

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Status Bank Rakyat sebagai bank koperasi kekal dan kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk menukar status bank tersebut kepada bank komersial.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, sebarang pertukaran status bank tersebut bergantung kepada banyak prosedur lain termasuk kelulusan daripada ahli-ahlinya.

 

“Ia melibatkan beberapa peringkat kelulusan sekiranya ia beralih kepada bank komersial, pertama menerusi mesyuarat agung ahli-ahli, keduanya Bank Rakyat juga tertakluk kepada Akta Bank Negara di bawah Bank Negara (BNM)," katanya di Dewan Rakyat.

 

Beliau menjelaskan perkara itu selepas Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) bangun mencelah untuk meminta penjelasan berhubung laporan media mengenai hasrat menjadikan Bank Rakyat sebagai bank komersial.

 

Ewon berkata, proses lain yang perlu dilalui bagi penukaran status ialah mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). 

 

Dalam pada itu, Ewon berkata, kementeriannya akan membangunkan badan akreditasi perusahaan sosial (SE) dalam Fasa 2 Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial Malaysia 2029 (SEMy2030) untuk tempoh 2026 hingga 2030.

 

Beliau berkata, proses penarafan SE telah diperkenalkan sejak 2019 dan hingga kini masih dilaksanakan.

 

“Hingga Ogos 2025, terdapat 520 entiti perniagaan termasuk PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana) dan koperasi yang telah menerima penarafan sebagai SE bagi tiga tahap penarafan, iaitu Perusahaan Sosial Diakreditasi (SE.Ac), Perusahaan Sosial Asas (SE.B) dan Tunas Perusahaan Sosial (Tunas SE),” katanya.

 

Berhubung koperasi veteran tentera, Ewon berkata bagi 2024, terdapat 82 koperasi veteran tentera telah berdaftar dengan SKM melibatkan 9,059 ahli, dengan modal syer terkumpul berjumlah RM2.5 juta, jumlah aset sebanyak RM10.3 juta dan perolehan bernilai RM696,470.00.

 

Pada masa ini, beliau berkata koperasi veteran tentera yang ada hanya berskala mikro dengan aktiviti perniagaan yang dijalankan merangkumi perladangan kelapa sawit, pertanian, sewaan, pelaburan dan perkhidmatan.

 

“Selaras dengan prinsip koperasi, KUSKOP dan SKM tiada halangan sekiranya Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dalam berkongsi kepakaran serta operasi perniagaannya,” katanya. - DagangNews.com