KUALA LUMPUR 17 Julai – Solarvest Holdings Bhd mengumumkan pelantikan Daniel Bernd Ruppert sebagai Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) syarikat.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat itu memaklumkan Ruppert, 50, telah terlibat secara aktif dalam menyokong strategi pelaburan syarikat sebagai CIO dan telah mewakili syarikat dalam pelbagai majlis rasmi.
Ruppert membawa lebih daripada 15 tahun pengalaman dalam perbankan pelaburan dan pengurusan perniagaan ke jawatannya sebagai Ketua Pegawai Pelaburan.
"Sebagai warganegara Jerman yang telah menetap di Malaysia selama 20 tahun, Daniel mempunyai pemahaman yang mendalam tentang pasaran Malaysia," kata Solavest.
Beliau memacu pelaburan strategik dan pertumbuhan dengan memanfaatkan rekod pencapaian kukuhnya dalam sektor TMT (Teknologi, Media, Telekomunikasi) dan tenaga.
Daniel bertanggungjawab terhadap pelaksanaan strategi pelaburan Solarvest, merangkumi pengurusan aset, pengambilalihan dan pelupusan, pemantauan risiko, serta penempatan modal strategik.
Selain itu, beliau mengetuai pasukan pelaburan dan pengurusan aset dalam membina kerjasama pelaburan bersama serta mengenal pasti peluang pelaburan berkualiti tinggi.
"Sebelum menyertai pasukan kami, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Sedania Innovator Berhad, sebuah syarikat tersenarai awam di Kuala Lumpur bermula pada tahun 2018," kata Solarvest.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau menerajui pelaburan hijau dalam infrastruktur lestari dan tenaga boleh diperbaharui, serta berjaya mengemudi syarikat ke arah keuntungan. Di bawah kepimpinannya, Sedania mencatatkan keuntungan tertinggi pada tahun 2019 dan 2021.
Daniel memulakan kerjayanya sebagai pegawai perbankan pelaburan di London, memperoleh pengalaman luas sebelum beralih kepada jawatan korporat kanan dalam pelbagai industri berasaskan teknologi. - DagangNews.com








