Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak lahirkan tenaga kerja pacu ekonomi berpendapatan tinggi - Abang Johari | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak lahirkan tenaga kerja pacu ekonomi berpendapatan tinggi - Abang Johari

KUALA LUMPUR 24 Dis - Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) Sarawak bertujuan melahirkan tenaga kerja yang berpendidikan tinggi dan berdaya saing, sekali gus mampu memacu negeri itu ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

 

Beliau berkata, selain memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal dan ekonomi, kerajaan Sarawak juga menitikberatkan usaha melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

 

“Sebanyak 64 program ijazah sarjana muda telah dikenal pasti untuk dimasukkan di bawah skim ini, melibatkan 10,000 pelajar dengan anggaran kos RM250 juta.

 

“Skim ini terbuka kepada semua pelajar yang layak tanpa mengira latar belakang pendapatan keluarga, mencerminkan komitmen kerajaan untuk menyediakan pendidikan sebagai keperluan asas,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Krismas 2025.

 

Empat institusi pengajian tinggi milik Sarawak — Kampus Sarawak Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak dan Kolej Universiti i-CATS — akan terlibat dalam pelaksanaan FTES.

 

FTES bukan sahaja meliputi yuran pengajian, malah turut menyediakan elaun bulanan kepada penerima yang layak bagi membantu menampung perbelanjaan asas sepanjang tempoh pengajian mereka.

 

Skim ini memberi tumpuan kepada program ijazah sarjana muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), serta perubatan, undang-undang, perakaunan, kewangan dan psikologi, selaras dengan keperluan pembangunan bakat Sarawak.

 

Sementara itu, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak juga komited untuk memperkukuh pendidikan menengah melalui penubuhan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS).

 

“Inisiatif ini merupakan satu langkah besar dalam strategi pendidikan negeri, dengan menawarkan kurikulum Cambridge dan menyelaraskan sistem pendidikan Sarawak dengan piawaian antarabangsa,” katanya. - BERNAMA