KUALA LUMPUR 14 Ogos – Pemaju hartanah, Sime Darby Property Bhd dilaporkan sedang berbincang dengan institusi kewangan bagi mendapatkan pinjaman sehingga RM3 bilion (AS$714 juta) bagi membiayai pembinaan pusat data yang akan disewa kepada Google, menurut sumber yang mengetahui perkara itu.
Pinjaman yang dicadangkan itu dijangka mempunyai tempoh matang lima tahun dengan pilihan lanjutan sehingga dua tahun, kata sumber berkenaan lapor The Edge.
Perbincangan masih berlangsung dan butiran pinjaman berkemungkinan berubah, tambah mereka. Sime Darby Property setakat ini tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap laporan tersebut.
Sime Darby Property yang merupakan sebahagian daripada salah satu konglomerat terbesar Malaysia itu kini giat mengembangkan kehadirannya dalam sektor pusat data bagi memenuhi lonjakan permintaan yang didorong oleh perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI).
Gelombang minat terhadap AI telah merangsang permintaan pembiayaan pusat data di Asia, sekali gus mencetuskan siri pinjaman rekod baharu untuk pengendali.
Awal tahun ini, Bridge Data Centres yang dimiliki Bain Capital memperoleh kemudahan pembiayaan bernilai AS\$2.8 bilion bagi operasinya di Malaysia.
Google pada 2024 mengumumkan rancangan untuk membina pusat data di Elmina Business Park milik Sime Darby Property berhampiran ibu negara, sebagai sebahagian daripada pelaburan bernilai AS\$2 bilion. - DagangNews.com








