Sidang Kemuncak ASEAN: AirAsia nasihat penumpang rancangan perjalanan awal elak kesulitan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sidang Kemuncak ASEAN: AirAsia nasihat penumpang rancangan perjalanan awal elak kesulitan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 24 Okt - AirAsia menasihatkan tetamu yang akan melakukan perjalanan ke dan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA T2) sepanjang tempoh Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dari 26 hingga 28 Oktober ini merancang perjalanan awal bagi mengelak sebarang kesulitan.

 

Dalam kenyataan, syarikat penerbangan itu menasihatkan tetamu menggunakan perkhidmatan alternatif seperti Express Rail Link iaitu KLIA Ekspres atau KLIA Transit, susulan penutupan jalan secara berperingkat serta lencongan trafik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

"Para tetamu dinasihatkan untuk merancang waktu perjalanan ke KLIA T2 bagi mengelakkan kemungkinan kelewatan lalu lintas ketara dan sekatan jalan.

 

"Tetamu dinasihatkan tiba sekurang-kurangnya dua jam sebelum bagi penerbangan domestik serta tiga jam sebelum bagi penerbangan antarabangsa. 

 

"Lebuh raya utama termasuk Lebuhraya KLIA, Lebuhraya ELITE (KLIA–Putrajaya), Lebuhraya MEX dan Lebuhraya KL–Seremban mungkin mengalami penutupan sementara serta lencongan bagi memberi laluan kepada pergerakan kenderaan rasmi," kata kenyataan itu.

 

Menurut AirAsia, kaunter daftar masuk di KLIA T2 akan ditutup satu jam sebelum waktu berlepas yang dijadualkan. 

 

"Para tetamu digalakkan untuk melengkapkan daftar masuk secara kendiri melalui aplikasi AirAsia MOVE, yang boleh dilakukan dari 14 hari sehingga satu jam sebelum waktu berlepas, serta menggunakan pas masuk elektronik yang diterima di semua lapangan terbang di Malaysia dan di banyak destinasi lain dalam rangkaian AirAsia.

 

"Para tetamu boleh menyemak status penerbangan di airasia.com/flightstatus, serta mendapatkan maklumat perjalanan terkini dan maklumat penting melalui aplikasi AirAsia MOVE atau di airasia.com," kata kenyataan itu. - DagangNews.com