Siasatan dakwaan pemilikan saham Azam Baki hampir selesai, laporan dijangka diserahkan minggu depan - Fahmi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Siasatan dakwaan pemilikan saham Azam Baki hampir selesai, laporan dijangka diserahkan minggu depan - Fahmi

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 27 Feb – Jawatankuasa khas yang menyiasat dakwaan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, kini hampir menamatkan siasatannya, menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

 

Beliau yang juga jurucakap kerajaan berkata, jawatankuasa itu yang diketuai oleh Peguam Negara dijangka akan menyerahkan laporan mereka pada minggu depan.

 

“Laporan polis juga telah dibuat berkaitan dakwaan penyalahgunaan kuasa SPRM bagi keuntungan korporat. Pihak polis sedang mempercepatkan siasatan bagi mengenal pasti sebarang kesalahan dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang terlibat,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet hari ini.

 

Menurut beliau, Kabinet mengambil serius isu ini dan sedang meneliti kemungkinan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja, bergantung kepada dapatan pasukan petugas khas.

 

Isu ini timbul selepas agensi berita Bloomberg melaporkan bahawa Azam Baki memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd.

 

Azam menegaskan beliau membeli saham itu pada awal 2025 dan menjualnya pada bulan Julai, serta mengekalkan bahawa semua urus niaga adalah mengikut peraturan.

 

Satu lagi laporan Bloomberg turut menuduh Azam terlibat dalam dakwaan berpakat dengan ahli perniagaan untuk mengambil alih syarikat tempatan, yang menimbulkan perhatian serius terhadap integriti tadbir urus korporat dan penguatkuasaan undang-undang negara. - DagangNews.com