Shell rancang tambah pelaburan lebih RM9 bilion di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Shell rancang tambah pelaburan lebih RM9 bilion di Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut kedatangan Ketua Pegawai Eksekutif Global Shell, Wael Sawan di Parlimen pada 17 Jun 2025.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

PUTRAJAYA 17 Jun - Shell akan menambah pelaburan melebihi RM9 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Global Shell, Wael Sawan dalam pertemuan di Parlimen hari ini.

 

"Sawan menyuarakan keyakinan terhadap arah tuju negara. Justeru, beliau memaklumkan bahawa Shell akan menambah pelaburan melebihi RM9 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, yang bakal mencipta peluang-peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

 

 

 

 

 

 

"Pelaburan ini adalah manifestasi keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar ekonomi kita yang teguh dan kepimpinan yang jelas. Insya-Allah, Malaysia mampu terus melakar masa depan yang makmur dan berdaya saing," kata Perdana Menteri dalam laman facebook rasmi beliau hari ini.

 

 

PMX

 

 

Menurut Anwar, Shell bukan sekadar nama besar dalam dunia tenaga, tetapi telah menjadi rakan pelaburan utama negara dan sebahagian daripada perjalanan ekonomi Malaysia sejak sekian lama.

 

"Saya manfaatkan kesempatan ini untuk berkongsi pendekatan strategik Kerajaan MADANI dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang stabil, mampan dan berdaya tahan bukan hanya untuk hari ini, tetapi demi generasi mendatang," kata beliau lagi.

 

Sawan berada di negara ini sempena acara Energy Asia 2025 kelolaan Petronas di ibu negara dari 16 hingga 18 Jun. - DagangNews.com