KUALA LUMPUR 25 Sept - Sentoria Group Berhad (SGB) hari ini memaklumkan anak syarikat milik penuhnya, Sentoria Borneo Land Sdn. Bhd., yang kini berada di bawah pengurusan (receivership), telah diperintahkan supaya membayar sejumlah RM252,316.35 oleh Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Sarawak dan Tribunal Pengurusan (TTPRS).
Dalam pemakluman di Bursa Malaysia, syarikat itu menjelaskan tribunal pada 25 September 2025 telah mengeluarkan Borang 5 – Award for Claimant selepas Sentoria Borneo Land gagal memfailkan Pernyataan Pembelaan pada tarikh ditetapkan, iaitu 28 Ogos 2025.
Tuntutan tersebut melibatkan lima pembeli rumah dengan jumlah antara RM18,807.36 hingga RM150,000, merangkumi kes TTPRS/0042/24, TTPRS/0059/24, TTPRS/0062/24, TTPRS/0087/24 dan TTPRS/0089/24.
ARTIKEL BERKAITAN: Pembeli projek tertangguh Ataria Resort di Samariang tuntut kerajaan negeri campur tangan
Menurut Receiver & Manager, anak syarikat itu tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk menyelesaikan bayaran tuntutan berkenaan.
Perkembangan ini menambah tekanan kewangan terhadap unit Sarawak syarikat berkenaan, yang telah pun berada di bawah pengurusan penerima, sekali gus meningkatkan cabaran kumpulan Sentoria dalam segmen pembangunan hartanah dan hospitaliti.
Pada 12 September lalu, Sentoria Group Bhd dan anak syarikat milik penuhnya, Sentoria Harta Sdn Bhd, telah menerima penghakiman ingkar daripada Mahkamah Tinggi yang memerintahkan mereka membayar sejumlah RM8.69 juta kepada Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) Berhad.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata pihaknya diserahkan salinan penghakiman bertarikh 9 September 2025 oleh firma guaman Messrs Shearn Delamore & Co., yang bertindak bagi pihak Al Rajhi Bank.
Di bawah keputusan tersebut, defendan perlu membayar tunggakan pinjaman berjumlah RM5.73 juta (CIB7572), RM868,806 (CIB7936), RM558,217 (CIB8392) dan RM1.52 juta (CIB8619). - DagangNews.com








