Semua 23 sukarelawan Malaysia GSF telah ditahan, PM hubungi Syeikh Qatar, El-Sisi dan Erdogan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Semua 23 sukarelawan Malaysia GSF telah ditahan, PM hubungi Syeikh Qatar, El-Sisi dan Erdogan

KUALA LUMPUR 2 Okt – Semua 23 sukarelawan Malaysia bersama Global Sumud Flotilla (GSF) telah ditahan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan hari ini.

 

Anwar berkata beliau bersama beberapa pemimpin lain telah berhubung dengan Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.

 

“Lewat hari ini, saya akan berbicara dengan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi,” katanya hari ini.

 

Anwar menambah bersama Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan, mereka turut menghubungi beberapa pihak lain termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio bagi meminta campur tangan untuk memastikan pembebasan mereka yang ditahan rejim Israel.

 

Anwar berkata para tahanan dituduh melakukan kesalahan “hanya kerana prihatin dengan prinsip kemanusiaan, membantu yang lemah dan yang kelaparan, termasuk orang sakit, wanita dan kanak-kanak.”

 

“Jika itu pun tidak dapat diterima, maka maknanya nilai kemanusiaan kita tidak lagi bererti.

 

“Sekali lagi saya berdoa kepada Allah agar berakhirnya kekejaman Israel, agar rakan-rakan kita dibebaskan dan bantuan kemanusiaan sampai kepada saudara-saudara kita di Gaza, Palestin tanpa sebarang kelewatan,” tambahnya. - DagangNews.com