KUALA LUMPUR 9 Sept – Selepas dua tahun diputuskan, bekalan elektrik di loji fisfat milik Cahya Mata Phosphates Industries Sdn Bhd (CMPI) di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu, disambung semula meskipun pertikaian dengan Syarikat Sesco Bhd (Sesco) berkaitan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) masih belum diselesaikan.
Cahya Mata Sarawak Bhd dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, bekalan disambung semula pada Selasa ke kilang milik anak syarikatnya, CMPI, sekali gus membolehkan syarikat itu melaksanakan ujian dan pentauliahan ke atas loji pengeluaran fosforus kuning dan asid fosforik, menjelang fasa pengkomersialan penuh.
“Penyambungan semula ini membolehkan CMPI membuat persediaan bagi memulakan semula pengeluaran fosfat, yang dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi operasi dan kewangan kumpulan pada masa akan datang,” kata syarikat itu.
Bagaimanapun, kumpulan tersebut menjangkakan perkembangan baharu itu tiada kesan material ke atas prestasi kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Tegas syarikat, rundingan bersama Sesco terus dijalankan secara berterusan bagi memastikan kesinambungan bekalan elektrik ke loji berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemotongan bekalan kuasa ke loji fosfat beri kesan terhad kepada kewangan Cahya Mata Sarawak – MIDF Research
Untuk rekod, CMPI telah memfailkan tindakan timbang tara terhadap Sesco pada November 2022, atas dakwaan bil elektrik dikenakan lebih awal sedangkan loji belum mencapai status operasi komersial.
Sesco turut membuat tuntutan balas sebanyak RM342.25 juta terhadap CMPI atas kerugian dan kerosakan.
Kes menjadi tegang apabila Sesco memutuskan bekalan elektrik pada Julai 2023, selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan CMPI bagi perintah pemeliharaan.
Sesco kemudian mengisytiharkan bahawa PPA yang ditandatangani pada Januari 2019 telah ditamatkan berkuat kuasa 11 Mei 2023.
Selain itu, Sesco turut mengambil tindakan timbang tara terhadap Cahya Mata Sarawak sendiri pada November 2023, berkait dakwaan pelanggaran jaminan korporat yang ditandatangani syarikat induk itu bagi menyokong kewajipan CMPI dalam perjanjian PPA.
Kedua-dua tindakan timbang tara kini telah digabungkan, dengan sesi pendengaran keterangan dijadualkan bersambung pada Mac 2026. - DagangNews.com








