Sektor utiliti terus bersinar didorong ledakan pusat data, saham TNB antara jadi tumpuan - Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor utiliti terus bersinar didorong ledakan pusat data, saham TNB antara jadi tumpuan - Kenanga Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 Okt – Permintaan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia melonjak semula sebanyak 7.0% suku-ke-suku (QoQ) dalam 2QFY25, dipacu terutamanya oleh pertumbuhan permintaan sektor komersial (+7.6% QoQ) yang diterajui oleh pembangunan pusat data.

 

Menurut Kenanga Research, penggunaan tenaga meningkat kepada 603MW pada Jun 2025 berbanding 485MW pada Mac 2025, dengan jumlah penggunaan mencecah 1,852GWh bagi separuh pertama FY25 (1HFY25). 

 

Katanya, sehingga Jun lalu, sebanyak 24 projek pusat data dengan kapasiti 3,500MW telah siap, termasuk tiga projek bernilai 740MW yang disiapkan dalam suku kedua.

 

 

 

 

 

 

 

 

"Sepanjang tahun sehingga kini, lima Perjanjian Bekalan Elektrik (ESA) baharu telah dimeterai, menambah 480MW kapasiti, dengan dua projek (253MW) disiapkan antara Julai dan Ogos. 

 

"Secara keseluruhan, sebanyak 47 ESA telah ditandatangani dengan jumlah kapasiti 6,700MW — membuktikan permintaan berterusan daripada sektor pusat data," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Kenanga Research masih mengekalkan  OVERWEIGHT ke atas sektor utiliti, dengan prospek cerah dipacu transformasi digital, peningkatan penggunaan tenaga dan penyertaan aktif dalam agenda peralihan tenaga Malaysia.

 

Saham Tenaga Nasional Berhad (TNB) kekal sebagai pilihan utama, dengan pendedahan tinggi kepada pertumbuhan permintaan, pelaburan infrastruktur T&D, dan pengembangan kapasiti baharu. 

 

Syarikat IPP seperti Malakof dan YTL Power serta penyedia utiliti gas Petgas dan Gas Malaysia turut dijangka meraih manfaat besar daripada transformasi tenaga dan pembangunan digital negara.

 

Menurut Kenanga, setakat tahun ini (YTD), Indeks Utiliti Bursa Malaysia (KLUTL) susut 2%, sejajar dengan penurunan FBMKLCI (-3%). 

 

Penurunan saham TNB sebanyak 10% disebabkan kebimbangan terhadap pertikaian cukai dengan LHDN. Namun, keputusan mahkamah yang membenarkan tuntutan Elaun Pelaburan (Jadual 7B) dan permohonan semula oleh TNB meningkatkan prospek penyelesaian positif.

 

Kenanga percaya kejatuhan harga saham telah mengambil kira isu ini, dengan TNB kini diniagakan pada PER FY26 sebanyak 15.3x, hampir purata 5 tahun pada 14.4x.

 

Prestasi YTD saham utiliti lain Malakof: +15% (PER 22.8x vs. purata 13.7x), YTL Power: +13% (PER 13.5x vs. purata 10.9x), Petgas: +5% (PER 19.0x vs. 18.2x) dan Gas Malaysia: +1% (PER 13.4x vs. 12.8x)

 

Sektor utiliti kekal tarikan utama pelabur jangka panjang dengan pendapatan berulang, aset dikawal selia, aliran tunai stabil dan pulangan dividen sehingga 6%, terutamanya Gas Malaysia.

 

Sementara itu Kenanga berkata, TNB telah menyemak semula unjuran pertumbuhan permintaan bagi FY25 kepada 2.8%–3.8%, berbanding unjuran asal 3.5%–4.5%, bagi mencerminkan asas permintaan tinggi pada FY24.

 

Katanya, walaupun pertumbuhan ini tertakluk kepada mekanisme Kawalan Berasaskan Insentif (IBR) dan had pendapatan (di mana lebihan akan dikembalikan kepada pengguna), permintaan tinggi tetap menyokong kecekapan loji dan keperluan capex penghantaran voltan tinggi, yang memberi impak positif kepada pendapatan TNB.

 

Bagi menampung permintaan pusat data yang melonjak, Suruhanjaya Tenaga telah membuka tawaran cadangan (RFP) untuk kapasiti penjanaan baharu, sambungan PPA loji gas sedia ada dan tambahan kapasiti daripada loji gas tamat tempoh.

 

Antara syarikat yang dijangka menjadi peneraju ialah TNB, 310MW (Gelugor), 375MW (Connaught Bridge), 1,411MW (Tuanku Ja’afar) dan 275MW (Pasir Gudang).

 

Malakof pula membabitkan 350MW (Prai), 1,222MW (SEV), 440MW (Port Dickson) dan 640MW (GB3)

 

YTL Power turut dilaporkan sedang bekerjasama dengan pemilik tanah untuk menyertai bidaan baharu. Keputusan tender dijangka diumumkan menjelang akhir tahun ini.

 

Permintaan Gas Dijangka Naik

 

Dengan tiadanya loji arang batu baharu, kapasiti gas akan menjadi keutamaan. Setakat FY24, TNB melaporkan campuran penjanaan berasaskan gas sebanyak 36.4%, dan ini dijangka meningkat ke arah 50% menjelang 2030, didorong oleh permintaan pusat data, penamatan loji arang batu secara berperingkat dan 6GW–8GW kapasiti baharu berasaskan gas.

 

PETRONAS telah mengesahkan rancangan membina Terminal Regasifikasi Ketiga (RGT3), berkemungkinan di Lumut, berhampiran loji gas milik Malakof dan loji arang batu TNB Janamanjung (4,100MW), di mana tiga unit 700MW akan ditamatkan menjelang 2030.

 

 

 

 

 

 

Petgas dijangka menjadi operator, memandangkan pemilik RGT pertama (Sg Udang, Melaka) dan kedua (Pengerang, Johor). Gas Malaysia juga difahamkan berminat untuk menyertai pembinaan RGT baharu ini.

 

"Jika Petgas mengambil 70% pegangan dalam projek RGT3 (kapasiti 3.5MTPA, kos pelaburan USD700 juta), RNAV boleh meningkat kepada RM19.17 sesaham, tambahan RM2.37," kata firma itu. - DagangNews.com