Sektor utiliti tenaga dijangka raih manfaat daripada peningkatan keuntungan TNB - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor utiliti tenaga dijangka raih manfaat daripada peningkatan keuntungan TNB - penganalisis

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 15 Julai - Syarikat dalam sektor utiliti tenaga dijangka mencatat pertumbuhan memberangsangkan tahun ini, menurut UOB Kay Hian Research (UOBKH).

 

Pertumbuhan ini akan didorong terutamanya oleh peningkatan pulangan kawal selia Tenaga Nasional Bhd (TNB) di bawah tempoh kawal selia keempat (RP4) dan momentum keuntungan kukuh Pekat Group Bhd, kata firma penyelidikan tersebut.

 

TNB dijangka menjana pulangan lebih tinggi di bawah kerangka RP4 bermula tahun ini sehingga akhir tahun 2027.

 

Pekat

Menurut UOBKH, Pekat telah mencatat kemenangan buku pesanan yang lebih tinggi daripada segmen tenaga boleh diperbaharui dan pembuatan suis, dan dijangka mencatat kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) keuntungan sebanyak 40% melebihi pasaran dari 2024 hingga 2027.

 

UOBKH mengekalkan saranan “beli” ke atas Pekat dengan harga sasaran RM1.70, berdasarkan purata nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sektor sebanyak 21 kali.

 

 

pekat

 

 

“Pekat berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pertumbuhan pesat dalam permintaan tenaga solar, disokong oleh rekod prestasi kukuh dalam penghantaran sistem fotovoltaik solar atas bumbung dan projek solar berskala besar.

 

“Dengan buku pesanan yang kukuh dalam bahagian solar dan perlindungan pembumian serta kilat, kumpulan ini mengulangi prospek cerah mereka untuk tahun 2025,” kata UOBKH.

 

Malakoff Corp

Bagi Malakoff Corp Bhd, syarikat ini dijangka menyambung semula momentum keuntungan pada separuh kedua tahun ini setelah pengurusan secara konservatif merekodkan kerugian nilai boleh direalisasi bersih sebanyak RM45 juta daripada inventori arang batu pada separuh pertama 2025.

 

UOBKH mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran RM1.08 ke atas Malakoff dan penilaian jumlah bahagiannya mengambil kira jangkaan kemenangan loji janakuasa 1,400MW.

 

 

Malakoff

 

 

“Kami menjangkakan Malakoff berpotensi memenangi dua loji janakuasa gas berkapasiti 1,400MW dalam masa terdekat.

 

“Loji janakuasa termal baharu ini dijangka mula beroperasi secara komersial antara 2029 hingga 2030.

 

"Pemerolehan kontrak berpotensi ini akan meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga Malakoff sebanyak 40% dan membantu menggantikan loji janakuasa yang akan tamat tempoh,” katanya. - DagangNews.com