KUALA LUMPUR 8 Sept - Sektor pelancongan dijangka muncul sebagai pemangkin penting bagi pertumbuhan ekonomi negara pada tahun depan, menurut TA Research.
Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan ketibaan pelancong bukan sahaja bakal merangsang industri berkaitan perkhidmatan, malah dijangka memberi kesan limpahan kepada perbelanjaan pengguna swasta, sekali gus mencipta kesan berganda dalam ekonomi domestik.
"Pada masa yang sama, pelaksanaan pelaburan yang sedang berlangsung, pertumbuhan gaji, serta langkah dasar yang menyokong pendapatan isi rumah akan terus menjadi asas penting dalam memperkukuh permintaan domestic," kata firma itu dalam nota penyelidikan berkaitan prospek ekonomi Malaysia susulan pengumuman Kadar Dasar Semalaman (OPR) minggu lalu.
Minggu lalu, Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar OPR pada kadar sama 2.75%.
TA Research berkata, berdasarkan penilaian awal, ekonomi Malaysia berpotensi mencatat pertumbuhan antara 4.5% hingga 5.0% pada tahun 2026, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan pelbagai inisiatif di bawah perancangan kerajaan.
“Gambaran yang lebih jelas akan diketahui apabila kerajaan membentangkan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober, yang akan merangkumi unjuran makroekonomi terkini serta hala tuju dasar fiskal negara,” menurut laporan itu lagi.
Katanya, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) terakhir bagi tahun ini dijadual berlangsung pada 6 November 2025, dan ketika itu, pembuat dasar dijangka mempunyai lebih banyak data termasuk KDNK suku ketiga 2025, indikator awal suku keempat, statistik perdagangan terkini sehingga Oktober, serta panduan dasar lebih jelas selepas pembentangan Belanjawan 2026.
Sehubungan itu firma itu mengekalkan unjuran bahawa kadar OPR akan kekal pada 2.75% sehingga akhir tahun.
TA Research berkata secara keseluruhan ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 4.4% pada separuh pertama tahun 2025 (1H2025), dipacu oleh perbelanjaan pengguna yang mantap dan pelaburan yang aktif, sekali gus mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK tahunan dalam julat 4.0% hingga 4.8% tahun ke tahun (YoY).
Menurutnya, permintaan domestik dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2026, dengan perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh kestabilan pasaran pekerjaan, kenaikan gaji serta langkah-langkah dasar yang menyokong pendapatan rakyat.
“Pelaburan juga dijangka mengukuh dengan lebih ketara, hasil daripada pelaksanaan projek yang sedang berjalan, pelaburan yang telah direalisasikan serta pelancaran inisiatif baharu di bawah pelan pembangunan negara,” kata laporan tersebut.
Walaupun asas pertumbuhan kekal kukuh, beberapa risiko luaran masih menjadi cabaran utama – termasuk kelembapan dalam perdagangan global, sentimen perniagaan yang lebih berhati-hati dan pengeluaran komoditi yang berkurangan.
"Namun begitu, prospek ekonomi boleh menjadi lebih positif sekiranya rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat dan rakan dagang utamanya menunjukkan kemajuan, permintaan global terhadap produk elektronik kekal tinggi, dan sektor pelancongan terus mencatatkan pertumbuhan, sekali gus merangsang eksport perkhidmatan negara," kata firma itu. - DagangNews.com








