Sektor makanan pacu jualan runcit, catat pertumbuhan lebih tinggi pada 1Q25 – RGM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor makanan pacu jualan runcit, catat pertumbuhan lebih tinggi pada 1Q25 – RGM

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 18 Jun - Sektor makanan dan minuman muncul sebagai penyumbang utama kepada prestasi runcit negara, apabila mencatat pertumbuhan lebih tinggi daripada jangkaan pada suku pertama 2025, kata Retail Group Malaysia (RGM).

 

Pengusaha kafe dan restoran kekal optimis pertumbuhan ini akan berterusan pada suku seterusnya, sekali gus memberikan sedikit kelegaan kepada industri runcit yang berdepan tekanan kos sara hidup.

 

Subsektor fesyen dan aksesori fesyen turut mencatat lonjakan 12% dalam tempoh sama, dipacu aktiviti membeli-belah sempena musim perayaan berganda serta cuti sekolah.

 

Sumbangan positif turut disumbangkan oleh kedai serbaneka, pasar mini dan koperasi.

 

Secara keseluruhan, jualan runcit meningkat 5.6% pada suku pertama 2025 berbanding tempoh sama tahun lalu, namun masih rendah berbanding unjuran awal sebanyak 5.9%.

 

Firma itu menjangkakan jualan runcit susut 1% pada suku kedua selepas tamat musim perayaan, dengan jualan di gedung serbaneka dijangka merosot hampir 11%, manakala segmen pasar raya dan hiperpasar pula diunjur menyusut 9.5%.

 

Bagi keseluruhan tahun ini, RGM mengunjurkan jualan runcit berkembang 3.1%, lebih rendah daripada ramalan asal 4.3%.

 

Rakyat Malaysia terus berdepan tekanan kos sara hidup susulan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan daripada barangan runcit hinggalah caj tempat letak kereta sejak awal tahun, menyebabkan peniaga berkemungkinan besar memindahkan beban kos operasi yang meningkat kepada pengguna.

 

Meskipun kadar inflasi kekal terkawal, pengguna dijangka tetap terkesan dengan penstrukturan semula subsidi RON95 serta potensi kenaikan tarif elektrik menjelang hujung tahun ini.

 

Dalam pada itu, beberapa francais makanan antarabangsa masih berdepan tekanan berikutan boikot berterusan susulan konflik Palestin-Israel serta persaingan daripada syarikat baharu, menyebabkan beberapa jenama mengalami kerugian besar di pasaran tempatan.

 

Sebahagian premis masih ditutup sementara, manakala sejumlah cawangan yang mencatat prestasi lemah telah ditutup secara kekal.- DagangNews.com