Segmen perindustrian Sime Darby diramal berdepan cabaran disebabkan kelemahan pasaran global, kata HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Segmen perindustrian Sime Darby diramal berdepan cabaran disebabkan kelemahan pasaran global, kata HLIB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 Mei — Segmen perindustrian Sime Darby Berhad diramal berdepan cabaran akibat kelemahan permintaan terhadap peralatan dan bahan asas di pasaran global, kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).


Firma penyelidikan tersebut berkata, masalah ketidaktentuan yang semakin meningkat dalam struktur tarif import Amerika Syarikat (AS) baharu turut menambahkan lagi risiko kebimbangan mengenai prospek kelembapan perdagangan global.


Ia berkata, berdasarkan kepada keputusan separuh pertama tahun kewangan 2025 yang telah diterbitkan baru-baru ini, prestasi segmen perindustrian Sime Darby didapati agak lemah, dengan diseret ke bawah oleh faktor pelarasan harga di Australia.


“Bagaimanapun, buku tempahan terbaharu syarikat pada akhir Disember 2024 adalah kekal pada paras tertinggi iaitu sebanyak RM4.8 bilion dan kami menjangkakan pasaran berpotensi menjadi sederhana," kata HLIB dalam satu nota kajiannya.


Keadaan tersebut kata firma berkenaan, juga seiring dengan jangkaan kelembapan permintaan bagi komoditi apabila ekonomi global semakin lemah; dan ia sudah melihat berlaku kemunduran harga arang batu antarabangsa," katanya.


Selain itu, ia menyatakan, pasaran China turut kekal lemah, ditambah lagi dengan tekanan persaingan yang cukup sengit daripada pengeluar peralatan asli tempatan (OEM) terkemuka.


Ini kata HLIB, termasuk firma Xuzhou Construction Machinery Group, Sany Heavy Industry Co Ltd dan Zoomlion Heavy Industry Science and Technology Co Ltd.


Sementara itu. dalam nota yang lebih positif, ia berkata pasaran Malaysia telah melihat beberapa pembelian dalam buku tempahan sejak akhir Disember 2022 untuk sistem tenaga.


"Secara ringkasnya, segmen perindustrian Sime Darby berkemungkinan perlu mengambil contoh pengajaran daripada mana-mana aliran ekonomi global yang lembap," kata HLIB.


Bagi segmen perniagaan permotoran Sime Darby, firma tersebut berkata. ia dilihat kekal lemah, dengan bahagian UMW berpotensi menghadapi penurunan pada suku akan datang.


Pada keseluruhan, ia mengurangkan harga sasaran sesaham kepada RM2.36 daripada RM2.65 sebelum ini memandangkan peningkatan risiko makroekonomi dan keadaan pasaran semasa.


"Sehubungan itu, kami masih mengekalkan saranan "beli" ke atas saham Sime Darby, disebabkan hasil dividennya yang agak menarik iaitu pada 6.3 peratus," tambahnya. - DagangNews.com