Segmen e-dagang terus bantu lonjak keuntungan FY25 Carlo Rino, agih dividen interim 0.5 sen sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Segmen e-dagang terus bantu lonjak keuntungan FY25 Carlo Rino, agih dividen interim 0.5 sen sesaham

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR  26 Ogos – Carlo Rino Group Berhad, peruncit fesyen mengumumkan keputusan kewangan tidak diaudit bagi suku keempat Q4 dan tahun penuh berakhir 30 Jun 2025 (FY25).

 

Bagi FY25 kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM98.9 juta dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM21.2 juta dan keuntungan selepas cukai (PAT) RM15.7 juta. 

 

Segmen platform e-dagang terus mencatat prestasi cemerlang dengan lonjakan hasil 33.6% tahun ke tahun, selepas pertumbuhan 19% pada FY24. 

 

Sumbangan segmen e-dagang meningkat kepada 18.1% daripada jumlah hasil FY25, berbanding 12.9% tahun sebelumnya. Sementara itu, saluran butik dan gedung membeli-belah menyumbang 51% dan 30.9% hasil masing-masing.

 

Bagi suku keempat FY25, Carlo Rino mencatatkan PBT RM1.9 juta dan PAT RM1.3 juta dengan hasil sebanyak RM20 juta. 

 

Saluran butik kekal sebagai penyumbang utama dengan hasil RM10.4 juta atau 52% daripada jumlah hasil, diikuti gedung membeli-belah RM5.5 juta (27.3%) dan platform e-dagang RM4.1 juta (20.7%).

 

Sehingga 30 Jun 2025, kumpulan mengekalkan kedudukan kewangan kukuh dengan tunai bersih RM91.9 juta, memberikan fleksibiliti untuk menyokong inisiatif pertumbuhan masa depan serta penciptaan nilai jangka panjang.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Carlo Rino, Datuk Seri Chiang Fong Yee berkata, walaupun prospek runcit Malaysia dalam jangka pendek kekal mencabar berikutan inflasi, ketegangan perdagangan global dan kos sara hidup yang meningkat, syarikat terus memperkemas strategi untuk menempuh cabaran ini.

 

"Keutamaan utama kami adalah memperkukuh platform e-dagang, meningkatkan kehadiran digital serta menambah baik kecekapan operasi bagi mengekalkan margin keuntungan kasar yang sihat. Pada masa sama, kami gembira melihat perkembangan positif kedai utama kami di Jalan Imbi dan butik galeri di Melaka. 

 

"Kami tidak boleh berpuas hati. Industri ini sangat kompetitif dan cita rasa pengguna sentiasa berubah. Fokus kami adalah kekal tangkas dan adaptif," katanya dalam kenyataan.

 

Fong Yee menambah, dengan kedudukan tunai bersih yang kukuh, syarikat mempunyai ‘war chest’ untuk menyokong strategi pertumbuhan, memperkukuh jenama, mendalami hubungan pelanggan serta mencipta nilai mampan kepada pemegang saham.

 

Bagi FY25, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dua dividen interim tunggal berperingkat sebanyak 0.5 sen sesaham yang berjumlah kira-kira RM8.9 juta. 

 

Berdasarkan harga penutupan RM0.145 pada 25 Ogos 2025, agihan dividen ini memberikan hasil menarik kira-kira 6.9%.

 

Carlo Rino mula disenaraikan di Pasaran LEAP Bursa Securities pada 28 November 2018 dan berjaya berpindah ke Pasaran ACE pada 18 Disember 2024.

 

Carlo Rino kini dikenali sebagai jenama yang menawarkan rekaan muda, berani dan versatil, memadukan gaya, fungsi serta kualiti, dan terus membina daya tarikan dalam kalangan wanita kosmopolitan di seluruh dunia. - DagangNews.com