KUALA LUMPUR 15 Ogos - SDS Group Berhad (SDS) melalui anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, SDS Top Baker Sdn Bhd, memeterai dua perjanjian jual beli mencecah RM28 juta dengan Mamee Bakery Sdn Bhd bagi mengambil alih tujuh kilang beserta aset pengeluaran, tanda dagangan dan pengetahuan teknikal berkaitan di Johor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SDS menjelaskan perjanjian yang dimeterai pada 15 Ogos 2025 itu melibatkan dua komponen utama.
Pertama, pembelian tujuh bidang tanah dengan kilang yang dibina di atasnya di Mukim Plentong, Daerah Johor Bahru pada harga RM26 juta.
Kedua, pemerolehan keseluruhan barisan peralatan dan mesin pengeluaran, peralatan pembungkusan, tanda dagangan berdaftar serta resepi, formula dan proses pengeluaran produk bakeri pada harga RM2 juta.
Aset yang diambil alih itu termasuk kemudahan menghasilkan produk seperti kek gulung London/Tora Swiss Roll, kek lapis dan kek berbentuk beruang, yang sebelum ini dikeluarkan oleh Mamee Bakery.
Pemindahan hak harta intelek turut merangkumi semua tanda dagangan berdaftar yang masih sah, bersama nilai komersial dan reputasi (goodwill) yang dikaitkan dengannya.
Mamee-Double Decker
Mamee Bakery Sdn Bhd merupakan syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat makanan dan minuman ternama yang ditubuhkan pada 27 Ogos 1991 dan beribu pejabat di Lot 1, Kawasan Perindustrian Air Keroh, Melaka.
Mamee-Double Decker dikenali sebagai pengeluar produk ikonik seperti Mamee Monster, Mister Potato, Double Decker, Corntoz, Nutrigen dan pelbagai lagi. Syarikat ini telah menembusi pasaran antarabangsa dan mengukuhkan jenamanya di lebih 100 negara.
SDS berkata, harga keseluruhan RM28 juta itu dipersetujui berdasarkan asas “pembeli rela, penjual rela” selepas rundingan antara pihak-pihak terlibat.
Pembayaran akan dibuat secara berperingkat, bermula dengan deposit sebanyak RM2.8 juta yang telah dibayar sebagai wang cagaran, diikuti RM2 juta bagi pembelian aset semasa pemeteraian perjanjian, dan bakinya RM23.2 juta dalam tempoh dua bulan dari tarikh perjanjian kilang, dengan lanjutan sebulan jika perlu, tertakluk kepada faedah kelewatan sebanyak 8% setahun.
Satu daripada syarat penting perjanjian ialah penjual perlu memastikan semua barisan pengeluaran berada dalam keadaan baik, beroperasi lancar dan bebas kerosakan sebelum diserahkan. Mamee juga perlu membantu SDS Top Baker dalam ujian pengeluaran, termasuk berkongsi resepi dan pengetahuan teknikal supaya pemindahan operasi berjalan lancar.
Pembiayaan pengambilalihan ini akan dibuat melalui gabungan dana dalaman dan/atau pinjaman bank, tanpa melibatkan pengeluaran saham baharu atau pertambahan liabiliti luar jangka. Urus niaga ini tidak memerlukan kelulusan pemegang saham dan dijangka selesai pada suku ketiga tahun 2026.
SDS berkata, langkah strategik ini sejajar dengan pelan pembangunan jangka panjang kumpulan untuk mengukuhkan kapasiti pembuatan dan keupayaan pengedaran.
Dengan kemudahan baharu ini, SDS berhasrat meningkatkan skala operasi, memperluas rangkaian produk, dan memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang, selain menyesuaikan diri dengan perubahan cita rasa pengguna. - DagangNews.com








